PATI Terus Diburu, 22 Ditahan Di Kota Kinabalu

381
Pegawai polis memeriksa dokumen setiap warga asing yang ditahan.

KOTA KINABALU: Sebanyak 22 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi bersepadu dijalankan pihak berkuasa di sekitar bandar raya ini semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, operasi yang bermula pukul 3 petang hingga 9.45 malam itu dijalankan di lima lokasi antaranya Menggatal, Inanam dan Luyang.

Katanya, sebanyak 76 orang diperiksa dan 22 daripadanya ditahan kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

“Kesemua yang ditangkap adalah 16 dewasa termasuk empat perempuan, empat kanak-kanak lelaki serta dua kanak-kanak perempuan yang berumur antara 13 hingga 67 tahun.

Warga asing yang ditahan diangkut menggunakan trak polis ke IPD KK.

“PATI berkenaan terdiri daripada 18 warga Filipina dan empat rakyat Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, siasatan dibuat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963.

Habibi berkata, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dibantu Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu dan Sabah Electricity Sdn. Bhd. sepanjang operasi berkenaan.

Kerjasama pihak berkuasa termasuk Jabatan Imigresen sentiasa dilakukan dalam membanteras PATI di Sabah.

“Tumpuan operasi di sekitar bandar raya Kota Kinabalu kerana kewujudan PATI boleh menyumbang kepada aktiviti jenayah.

“Orang ramai dialu-alukan menyampaikan maklumat kepada polis melalui Facebook IPD Kota Kinabalu atau melalui aplikasi Whatsapp di talian 0192182729,” tambah beliau.