PATI Indonesia Diusir

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Seramai 139 pendatang asing tanpa izin (PATI) diusir pulang ke negara asal dalam Program Pengusiran Siri Ke-13 menerusi jalan laut, di sini, hari ini.

Pengarah Keselamatan Negeri, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Sabah Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata, semua PATI itu dihantar ke Indonesia.

“Ini menjadikan seramai 3,185 orang PATI berjaya diusir bermula 7 Januari lalu sehingga hari ini.

“Berdasarkan rekod, jumlah keseluruhan PATI yang telah diusir keluar dari Sabah mencecah 594,442 orang sejak tahun 1990,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Tambahnya, jumlah itu termasuk Pyang diusir menerusi pengangkutan udara membabitkan negara lain yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

“MKN terus komited menjalankan tugas termasuk mengusir PATI di Sabah dari semasa ke semasa.

“Ia adalah tanggungjawab dan amanah yang diberikan rakyat Sabah kepada MKN dan pihak berkuasa lain dalam menangani kebanjiran PATI di negeri ini,” katanya.