PATI Filipina Ditahan Miliki Syabu

112

Oleh ARDYHANSAH AMAT
LAHAD DATU: Seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) berusia 54 tahun ditahan kerana memiliki dadah dalam Op Tapis di Kampung Busul, Jalan Silam malam tadi.

Dalam kejadian pukul 2.20 petang itu, lelaki yang berasal dari Filipina ditahan bersama 19 paket plastik lutsinar berisi ketulan kristal dipercayai syabu seberat 9.15 gram.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, sebelum kejadian polis menyerbu sebuah rumah di kawasan kuari di kampung berkenaan.

“Ketika serbuan dilakukan, polis menjumpai suspek yang berada di bahagian ruang tamu.

“Suspek turut menyerahkan satu bekas plastik yang terdapat 19 plastik lutsinar berisi syabu dan 19 keping timah,” katanya dalam sidang akhbar semalam.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di dalam rumah, polis tidak menemui sebarang kesalahan lain.

“Suspek yang mengaku sudah berkahwin itu, gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan ketika ditahan selain ujian air kencingnya menunjukkan positif syabu.

“Sehubungan itu, suspek ditahan dan dadah yang dianggarkan bernilai RM1,372.50 dirampas bagi membantu siasatan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39 A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.