PATI Ditahan Mengedar Dadah

Oleh ARDYHANSAH AMAT
LAHAD DATU: Dua lelaki pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia ditahan kerana terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah di sebuah ladang, Jalan Lahad Datu-Tungku, di sini petang semalam.

Dalam kejadian pukul 6.45 petang itu, polis turut merampas dadah jenis syabu seberat 5.15 gram dianggarkan bernilai lebih RM700.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, terdahulu sepasukan pegawai dan anggota polis melancarkan Op Sarang di kawasan berkenaan selepas menerima maklumat awam berhubung aktiviti pengedaran dadah.

“Serbuan dilakukan di sebuah rumah pekerja di ladang berkenaan dan menemui dua lelaki di dalam sebuah bilik di situ.

“Seorang daripada suspek bertindak menutup pintu serta-merta sehingga menyebabkan seorang anggota polis cedera pada jari akibat tersepit,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Akibat kejadian itu, berlaku pergelutan antara suspek dan polis sehingga menyebabkan kedua-dua lelaki yang berumur 44 dan 52 tahun itu diberkas.

Nasri berkata, polis turut merampas 10 gulung kertas timah, gunting dan penyedut minuman yang diubah suai dipercayai digunakan untuk penagihan dadah.

“Ujian air kencing ke atas suspek juga menunjukkan positif mengandungi methaphetamine.

“Suspek kini direman dan disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana kesalahan mengedar dadah,” katanya.