Patah Tujuh Gigi Tegur Pemandu Lain Di Lampu Isyarat

Oleh NORA AHMAD
KOTA KINABALU – Tindakan seorang lelaki menegur pemandu lain di kawasan lampu isyarat berakhir dengan tragedi apabila patah tujuh batang gigi serta cedera di kepala dan tangan akibat dibelasah dalam kejadian di Jalan Kolam, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 10 malam itu, mangsa berusia 21 tahun yang memandu kereta jenis Honda S660 dikatakan berselisih  dengan sebuah Perodua Alza.

Ketika kejadian di lampu isyarat, mangsa dikatakan menegur kenderaan bersebelahan kerana tidak memberikan isyarat untuk masuk ke lorong laju.

Akibat kejadian itu, keadaan tidak terkawal sehingga pemandu Perodua Alza dikatakan bertindak memecahkan cermin kereta mangsa dengan menggunakan sebatang besi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, menurut laporan, suspek turut dikatakan memukul mangsa di kepala dan tangan menggunakan batang besi berkenaan.

“Suspek kemudian masuk semula ke dalam kenderaannya dan terus meninggalkan lokasi kejadian.

“Mangsa yang cedera kemudian dibantu orang awam untuk keluar dari kenderaan. Mangsa menghubungi ahli keluarga sebelum dibawa mendapatkan rawatan di hospital berhampiran, ” katanya ketika dihubungi hari ini.

Habibi berkata, suspek berusia 36 tahun itu sudah dikenal pasti dan usaha memburu suspek sedang giat dijalankan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan jika sabit kesalahan, boleh membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat,” katanya.