Pasukan khas perhebatkan Program Ziarah Prihatin di Sabah, Sarawak

KUCHING: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) akan menubuhkan pasukan khas di peringkat Sarawak dan Sabah untuk menggerakkan Program Ziarah Kasih FINAS Prihatin di kedua-dua negeri itu.

Pengerusinya, Zakaria Abdul Hamid, berkata pasukan khas itu dapat meningkatkan lagi keberkesanan program yang bertujuan menziarahi dan mengenal pasti artis seni veteran yang uzur dan memerlukan bantuan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas berkunjung ke kediaman Safar Ghafar, 62, seorang artis veteran Sarawak di Taman Sukma di sini, hari ini.

Safar, yang aktif dalam bidang nyanyian, tarian dan lukisan sejak 1970-an, pernah menjadi naib juara Bintang RTM 1983 serta menghasilkan beberapa buah album dan antara lagunya yang popular ialah Hanya Seminit dan Mun Masih Mudak (Jika Masih Muda).

Zakaria berkata kunjungan ke kediaman Safar, yang turut disertai Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah, adalah siri ketiga program berkenaan di mana dua siri sebelum ini memberi tumpuan kepada artis veteran di Semenanjung Malaysia.