Pasukan Keselamatan Adalah Sahabat Masyarakat Bukan Musuh

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Pasukan keselamatan yang bertugas di barisan depan dalam mengekang penularan wabak Covid-19 bukanlah musuh kepada masyarakat sebaliknya adalah sahabat yang cuba membantu.

Panglima 5 Divisyen Infantri, Mejar Jeneral Datuk Hafizuddeain Jantan berkata, setiap anggota keselamatan yang melakukan kawalan mempunyai objektif yang sama iaitu menyekat sebaran virus berkenaan.

Sehubungan itu katanya, rakyat perlu mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dikuatkuasakan untuk memastikan sasaran tersebut dapat dicapai.

“Kami pasukan keselamatan bukan musuh, kami adalah pasukan sahabat yang bersama-sama membantu usaha untuk menyekat sebaran atau penularan virus yang merbahaya ini.

“Kepada masyarakat di luar sana sebaik-baiknya patuhilah saranan kerajaan supaya duduk di rumah dan jangan kita lakukan pergerakan-pergerakan yang tidak perlu sekiranya tidak perlu kerana nyawa itu lebih penting daripada urusan yang lain, patuhi arahan PKP ini dan elakkan daripada berkumpul tanpa sebab,” katanya.

Mejar Jeneral Datuk Hafizuddeain Jantan.

Beliau bercakap kepada pemberita ketika ditemui selepas melakukan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) hari ini.

Tujuan kunjungan hormat itu adalah untuk memaklumkan tentang pelantikannya sebagai Panglima 5 Divisyen Infantri menggantikan Leftenan Jeneral Datuk Mohamad Khir Abdullah yang bersara pada 3 April lalu.

Hafizuddeain berkata, antara perbincangan beliau dengan Ketua Menteri adalah tentang peranan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam memastikan PKP berjalan lancar.

“Saya menyatakan tujuan membuat kunjungan hormat kepada Ketua Menteri adalah untuk memaklumkan secara rasmi bahawa saya telah mengambil alih jawatan Panglima 5 Divisyen Infantri berpangkalan di Lok Kawi dan antara perkara dibincangkan adalah beliau menyatakan bahawa amat mengambil berat tentang kesiapsiagaan, keselamatan anggota tentera dan pegawai ATM yang terlibat secara langsung dalam PKP,” katanya.

Menurut Hafizuddeain, sebanyak 700 anggota telah ditempatkan bersama anggota polis sepanjang PKP berkuat kuasa.

Tambahnya, tahap keselamatan dan kesihatan setiap anggota turut diutamakan iaitu setiap kali selesai penugasan, mereka akan menjalani saringan kesihatan dan proses pembasmian kuman di kem demi memastikan tiada sesiapa yang dijangkiti.