Pasukan Bomba Sukarela Perlu Ditubuhkan Di Tongod – Masiung Banah

Pasukan bomba sukarela perlu ditubuhkan di daerah Tongod bagi melakukan pemadaman awal jika berlaku kebakaran.
Pasukan bomba sukarela perlu ditubuhkan di daerah Tongod bagi melakukan pemadaman awal jika berlaku kebakaran.
Masiung Banah
Masiung Banah

KINABATANGAN – Pasukan bomba sukarela perlu ditubuhkan di daerah Tongod bagi melakukan pemadaman awal jika berlaku kebakaran, kata Anggota Dewan Undangan Negeri Kuamut Datuk Masiung Banah.

Menurut beliau ini kerana Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan terletak jauh dari Tongod dan menyebabkan operasi pemadaman api lambat hingga melibatkan banyak kemusnahan.

Katanya sebagai contoh, kebakaran asrama Sekolah Kebangsaan Pekan Tongod pada Isnin lepas, anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan mengambil masa dua jam untuk sampai.

Apabila sampai di Tongod, keseluruhan blok asrama habis terbakar dan merebak ke dewan makan asrama, katanya di sini, hari Rabu.

Menurutnya jika ada anggota bomba sukarela di Tongod, mereka boleh melakukan operasi pemadaman awal dan memastikan api tidak merebak hingga membabitkan kemusnahan yang banyak.

Masiung yang juga Pembantu Menteri Belia dan Sukan negeri berkata beliau menggalakkan pertubuhan belia di daerah itu mewujudkan Pasukan Bomba Sukarela dengan kerjasama rapat Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Katanya penubuhan pasukan bomba sukarela itu sering dibincangkan di Mesyuarat Daerah Tongod dan sudah sampai masanya direalisasikan penubuhannya.

Beliau berkata anggota pasukan bomba sukarela itu juga boleh memainkan peranan jika berlaku bencana banjir melanda daerah itu.

Pada masa sama, Masiung berkata terdapat keperluan mewujudkan Balai Bomba dan Penyelamat di Tongod untuk pelan jangka panjang pembangunan daerah ini.

Katanya perkhidmatan balai bomba berkenaan juga untuk daerah berhampiran iaitu Telupid.