Pasukan Bomba Pertingkat Pemantauan Kes Berisiko Lemas

KOTA KINABALU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan terus mempertingkat usaha memantau kawasan berisiko tinggi berlaku kejadian lemas di seluruh negara.

Susulan itu, bomba telah menyediakan 50 set peralatan menyelamat atau ‘Life Saving Appliances (LiSA)’ bagi memudahkan orang awam menjadi ‘first responder’ untuk menyelamat mangsa yang terlibat dalam insiden lemas.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, penyediaan peralatan menyelamat itu akan membantu mengurangkan risiko kematian yang membabitkan insiden lemas di kawasan riadah mahupun berhampiran kawasan kediaman.

Jika dilihat salah satu statistik yang tinggi membawa kepada kematian adalah kes lemas.

Dengan itu, pihaknya akan memberi pendedahan tentang kaedah menghadapi kes kecemasan membabitkan kes lemas agar dapat mengurangkan risiko kematian.

“Biasanya apabila berlaku kejadian lemas contohnya di Penampang, kawasan sungai agak panjang maka, sukar untuk mencari mangsa.

“Namun, melalui LiSA, apabila orang membuka peti maka, siren akan berbunyi dan ia akan menghantar lokasi GPS terus ke balai bomba berhampiran.

“Maka, pasukan bomba dapat memberi respon dan datang dengan segera ke lokasi yang dikenal pasti,” katanya selepas program Khidmat Bakti Bomba di Kampung Terian, Penampang kelmarin.

Pada masa ini, JPBM melalui Majlis Keselamatan Aktiviti di Air (MKAA) telah mengenal pasti kawasan berisiko tinggi yang merekodkan lima kes lemas di lokasi sama dalam tempoh tiga tahun.

Mohammad Hamdan berkata, berdasarkan laporan itu, mereka akan bekerjasama dengan pelbagai agensi dan badan penyelamat persendirian bagi memantau kawasan yang berisiko seperti tepi pantai, tali air atau sungai, kolam, jeram dan kawasan-kawasan lain.

LiSA dilengkapi dengan peti siren, pelampung, jaket keselamatan, ‘throwbag rope’ dan peti pertolongan cemas.

Dalam memperkasa peranan Bomba Komuniti, pihaknya telah mengenal pasti 2,800 kawasan yang dianggap sebagai ‘blind spot’ kerana perkhidmatan bomba sukar untuk sampai ke lokasi yang agak terpencil dan jauh di pedalaman.

Justeru itu, bomba bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan melaksanakan program rentas kementerian dan agensi dalam usaha mewujudkan Bomba Komuniti.

Ia termasuk kerjasama dengan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) bagi mewujudkan Bomba Komuniti di 8,000 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di seluruh negara.

Hadir sama dalam program itu, Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk M.Azman Taib dan Pengarah JBPM Negeri Sabah, Abdul Razak Muda.