Pastikan Calon Tidak Ada DNA Katak

Oleh SURAYA SHANAZ
KOTA KINABALU:  Parti Warisan Sabah (WARISAN) akan memastikan hanya calon yang tidak ada DNA ‘katak’ akan dipilih oleh parti itu untuk bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Naib Presiden WARISAN, Datuk Peter Anthony, berkata perkara itu akan diberi penekanan selain memastikan calon yang bakal dipilih itu mesra rakyat, mempunyai keperibadian yang baik dan komitmen tinggi sebagai wakil rakyat.

“Bagaimanapun terpulang kepada ketua menteri (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) untuk menentukan siapa calon yang akan diketengahkan. Namun kita juga akan mencadangkan beberapa nama tetapi terpulang kepada ketua menteri.

“Tetapi saya percaya kebanyakan calon yang akan dipilih pada PRN ini tidak ada DNA katak,” katanya pada Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat Melalap, di sini.

Mengenai sama ada beliau akan mempertahankan kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap, Peter berkata selagi beliau diperlukan oleh rakyat Melalap, dia akan mempertahankan kawasan berkenaan.

“Memang ada permintaan daripada luar termasuk Tambunan dan Pensiangan yang meminta saya bertanding di kawasan berkenaan, namun selagi saya diperlukan rakyat di sini (Melalap), saya akan pertahankan kawasan ini,” katanya.

Dalam pertemuan bersama penduduk dan pengundi di Melalap, Peter turut berasa  gembira kerana mereka melahirkan kesyukuran sepanjang dua tahun lebih kerajaan WARISAN menerajui kerajaan negeri Sabah.

“Banyak pembangunan infrastruktur terutama di kawasan Melalap yang telah kita laksanakan. Namun kita akui ada juga beberapa perancangan yang terpaksa ditangguhkan disebabkan wabak COVID-19 dan keadaan politik pada masa kini.

“Begitu juga dengan  pekan Melalap…kita nampak jentera dan kerja pembersihan sedang dijalankan sejak awal tahun tetapi sejak COVID-19, ia terpaksa dihentikan dan begitu juga beberapa kerja lain di sekitar Melalap.

“Tetapi rata-rata yang kita jumpa ini memberi keyakinan dengan pemerintahan ketua menteri dan mereka yakin kerajaan WARISAN akan dipilih semula untuk menerajui  kerajaan Sabah,” katanya.