Pastikan Bumiputera Sabah, Sarawak Tidak Tercicir – Darell Leiking

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen (Warisan-Penampang) Datuk Darell Leiking meminta kerajaan untuk memastikan agihan peruntukan dalam Agenda Pemerkasaan Bumiputera diselaraskan agar rakyat Sabah dan Sarawak tidak tercicir.

Beliau berkata, sejumlah RM11.4 bilion diperuntukkan untuk agenda berkenaan dan agihan peruntukan itu harus diberikan secara adil kerana sejak bertahun-tahun lamanya, penduduk Bumiputera Sabah dan Sarawak tidak mendapat peruntukan yang sama rata.

Malah, peruntukan bagi masyarakat Islam dan bukan Islam juga begitu ketara perbezaannya. Kali ini, diharap agihan peruntukan diberi sama rata bagi meningkatkan taraf Bumiputera Sabah dan Sarawak agar setara dengan Bumiputera di Semenanjung.

“Kerajaan mesti mengaku bahawa semua komuniti di Persekutuan Malaysia perlu Agenda Bersama dan sudah tiba masanya untuk kita memperkenal Agenda Ekonomi baharu untuk memberi peluang kepada semua rakyat Malaysia berdasarkan merit.

“Negara jiran kita sudah beralih kepada Ekonomi Perindustrian dan Digital berdasarkan merit. Maka, kita perlu mengambil langkah sama untuk membina negara bangsa bersama-sama dan bukannya berpecah-pecah,” katanya semasa perbahasan Bajet 2022 di Persidangan Parlimen hari ini.

Timbalan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) ini berkata, peruntukan RM1.5 bilion bagi tujuan pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam di Jabatan Perdana Menteri, ia amat dialu-alukan kerana agama ialah tonggak yang menguatkan struktur kekeluargaan dan komuniti di negara ini.

Walau bagaimanapun, Darell agak terkilan kerana pembangunan bagi kaum bukan Islam hanya RM50 juta untuk kerja-kerja pembaikan, penyelenggaran dan pembangunan kecil rumah-rumah ibadat di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan.

Jika dilihat terdapat beratus-ratus gereja, tokong dan kuil di Malaysia yang memerlukan bantuan kewangan dengan kadar segera berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang menyebabkan sumbangan derma juga turut berkurang.

“Untuk itu, saya tidak melihat mengapa masyarakat bukan Islam ini tidak diberikan RM1 bilion untuk membantu meringankan beban yang dihadapi pengurusan rumah-rumah ibadat bukan Islam yang ada di negara ini.