Pasaraya Perlu Bantu Dalam Promosi & Penjualan Produk Tempatan

89

KOTA KINABALU: Pengusaha pasaraya diingatkan agar menyediakan ruang untuk menjual produk tempatan yang dihasilkan usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) bagi membantu mempromosi dan memasarkan produk hasil keluaran tempatan.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, beliau tidak mahu pasaraya hanya mahukan kelulusan lesen berniaga tetapi mereka tidak mahu membantu dalam menjual produk tempatan.

Atas sebab itu, kerajaan menggalakan pasaraya supaya menjual produk usahawan IKS yang berkualiti dan mampu memenuhi keperluan pasaran.

Katanya, produk tempatan yang berkualiti bukan hanya boleh dijual di pasaran tempatan malah, ia boleh dijual sehingga ke luar negara.

Oleh itu, usahawan tempatan perlu memastikan produk mereka bukan hanya mempunyai kualiti tetapi juga, pembungkusan yang menarik serta harga yang kompetitif.

Malah, sudah ada beberapa produk tempatan dari Semenanjung Malaysia yang sudah berada di pasaraya luar negara seperti Pasaraya Carefour dan Tesco yang berada di Eropah.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Perasmian Karnival Usahawan Desa (KUD) Zon Sabah, di sini pada Sabtu.

Karnival anjuran Kementerian Pembangunan Luar Bandar (Persekutuan) itu disertai kira-kira 350 usahawan IKS dari seluruh Sabah.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohd Shafie mahu pembangunan di kawasan luar bandar terus diberi perhatian bagi memastikan jurang kemiskinan masyarakat bandar dan luar bandar dapat dikurangkan.

Oleh itu, pendekatan komprehensif perlu diambil bagi membangunkan kawasan luar bandar agar produk usahawan luar bandar boleh dihantar ke pasaran tempatan dengan mudah.

Katanya, dalam meningkatkan pendapatan masyarakat luar bandar, langkah perlu diambil bagi mendedahkan mereka dengan bidang keusahawanan.

”Hanya dengan melibatkan diri dalam bidang keusahawanan sahaja mampu membantu meningkatkan ekonomi dan pendapatan mereka dengan pantas,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Kerajaan Sabah akan sentiasa memberi bantuan bagi membangunkan usahawan yang ada di Sabah.

Kerajaan Sabah juga akan memberi sokongan padu kepada Kerajaan Persekutuan dalam melaksana pembangunan usahawan dan dasar yang ada agar kumpulan sasar dapat dibantu dengan lebih berkesan.

Turut hadir dalam majlis itu adalah Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Harun, Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick dan Menteri Pelajaran & Inovasi Datuk Dr Yusof Yacob.