Pasar Malam Semporna Bantu Belia Jana Pendapatan

Oleh SURAIDAH ROSLAN
SEMPORNA: Seiring dengan usaha membantu masyarakat setempat menjana pendapatan, Persatuan Barisan Transformasi Belia Semporna (PBTBS) mengambil inisiatif mengelolakan Pasar Malam Semporna bagi merancakkan lagi landskap ekonomi di daerah ini.

Presiden PBTBS Yusof Abd Kasim berkata, usaha perlu diambil bagi menghidupkan suasana malam di pekan yang menjadi tumpuan pelancong asing ini.

“Jika dilihat pada waktu siang, banyak aktiviti laut yang boleh dilakukan oleh pelancong namun, menjelang waktu malam suasana pekan itu sunyi sepi.

YUSOF KASSIM

“Oleh itu, kami mengambil inisiatif menganjurkan Pasar Malam bagi mengisi waktu malam agar pelancong mempunyai aktiviti pada waktu malam,” katanya dalam satu kenyataan, di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, Pasar Malam Semporna yang sudah mula beroperasi sejak 15 Mei lalu dilihat menjadi platform untuk anak-anak muda berniaga pelbagai jenis barangan dan makanan.

“Saya yakin usaha yang dilakukan ini dapat memberi kesan positif dalam membantu golongan belia bergiat dalam aktiviti perniagaan secara kecil-kecilan,” ujarnya.

BENNY CHIU

Beliau turut melahirkan penghargaan terhadap Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan & Perumahan Datuk Jaujan Sambakong kerana memberi kepercayaan kepada PBTBS untuk mengelolakan Pasar Malam Semporna ini.

Sementara itu, Ketua Penerangan PBTBS Benny Chiu berkata, langkah sebegini diambil bagi mengubah minda masyarakat daripada bekerja makan gaji kepada berniaga bagi memperolehi pendapatan sendiri.

“Kami melihat usaha ini juga dapat membantu mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan belia dan beliawanis di daerah ini.

“Gejala tidak sihat seperti melepak mahupun terlibat dalam aktiviti jenayah dalam kalangan belia juga dapat dikurangkan,” katanya.

Benny berharap Pihak Berkuasa Tempatan Semporna dapat membantu dalam mengawalselia dan menjalankan penguatkuasaan dalam memastikan kawasan pasar malam ini sentiasa bersih dan bebas sampah.