Pasar Karamunting Perlu Dinaik Taraf

KOTA KINABALU : Pasar Karamunting di Sandakan yang disifatkan sudah tidak sesuai untuk beroperasi kerana pelbagai masalah, harus dipindahkan ke tapak baharu yang lebih kondusif dan selamat untuk peniaga dan orang ramai.

George Hiew Vun Zin (Warisan-Karamunting) berkata beliau menerima banyak aduan daripada peniaga di pasar itu mengenai kemudahan seperti paip air yang tidak berfungsi serta keadaan di pasar yang tidak selamat.

Menjawab soalan itu, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Isnin Aliasnih berkata pihak Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) dan
Penolong Pemungut Hasil Tanah (PPHT) sedang mengenal pasti beberapa tapak alternatif yang sesuai bagi pembinaan Pasar Karamunting yang baharu.

Dan sementara menunggu tapak baharu itu dikenal pasti kelak, pihak MPS akan meneruskan dengan kerja kerja membaik pulih Pasar Karamunting.

Menurut George, keadaan Pasar Karamunting yang tidak selamat sudah banyak kali dibangkitkannya dan meskipun menteri berkaitan telah melakukan lawatan ke pasar berkenaan disusuli sedikit kerja penambah baikan, ia masih tidak mencukupi.

“Pasar ini telah dibina tak sampai sepuluh tahun lalu dengan kos kira-kira RM10 juta, namun sudah menjadi bangunan yang buruk (daif). Perlukah siasatan dibuat untuk mengenal pasti mengapa perkara ini berlaku,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di Kota Kinabalu, hari ini.

Menjawab soalan itu, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata jika didapati keadaan di Pasar Karamunting melibatkan unsur penyelewengan, ia perlu dilaporkan kepada pihak berkuasa yang berkenaan.

“Saya lebih suka jika tumpuan kini adalah menyelesaikan masalah di pasar itu. Masalahnya adalah Pasar Karamunting sudah tidak sesuai, apa yang berlaku di masa lampau menjadi pengajaran bagi kita semua.

“Jika ada unsur unsur salah guna kuasa dan sebagainya, ia adalah urusan pihak yang berwajib,” kata Masidi.

Menurutnya, kos pembinaan Pasar Karamunting yang baharu belum dapat dipastikan kerana tapak baharu belum dikenal pasti lagi.

Beliau memuji usaha dan komitmen ADUN Karamunting untuk membawa masalah ini ke dalam sidang DUN Sabah untuk perhatian pihak berwajib untuk diselesaikan.

“Percayalah, saya mahu menyelesaikan masalah ini dan melakukan tindakan penyelesaian daripada mencari kesalahan orang lain di masa lampau” katanya.

George meminta kementerian berkenaan untuk menyediakan peruntukan yang mencukupi bagi pembinaan Pasar Karamunting yang baharu bagi memastikan masalah seperti sistem perpaipan yang tidak berfungsi, tidak timbul lagi.