Pasangan Warga Tempatan Dusun Berdepan Kesukaran Pohon MyKad

13117
Debra bersama anaknya, Ivy semasa berurusan dengan khidmat Mahkamah Bergerak di Keningau pada Jumaat.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KENINGAU: Tidak menyedari tentang kesukaran yang akan dilalui pada masa hadapan antara punca Debra Dipal,33, dan suaminya, Venus Jaimi, 40, mengambil masa enam tahun mendaftar sijil kelahiran anak mereka.

Hanya apabila anak kedua mereka iaitu Ivy Sherly Venus ini ingin mendaftar Tahun Satu barulah pasangan warga tempatan berbangsa Dusun ini menguruskan sijil kelahiran Ivy.

“Suami terlalu sibuk dengan urusan kerja sehingga anak kedua kami berusia enam tahun baru kami ke Jabatan Pendaftaran bagi mendapatkan sijil kelahiran,” katanya.

Kini apabila Ivy memasuki Tingkatan Satu, anak kedua dari empat beradik itu berdepan kesukaran mendapat Kad Pengenalan kerana masalah daftar lewat sijil kelahiran.

“Bagaimanapun, kami sudah mengemukakan permohonan di Mahkamah Keningau pada November 2017. Selepas menunggu 11 bulan, barulah kami dipanggil untuk hadir ke mahkamah bergerak ini bagi proses urusan dokumentasi.

Ketua Menteri Sabah dengan Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum di Makhamah Bergerak.

“Mahkamah bergerak sebegini memang memudahkan rakyat di kawasan luar bandar berurusan tanpa perlu mengambil masa yang lama,” katanya ketika ditemui semasa Program Hari bersama Ketua Menteri, di Dewan Masyarakat Keningau, di sini pada Jumaat.

Debra berkata hanya anak kedua mereka itu sahaja yang berdepan dengan masalah daftar lewat sijil kelahiran. Tiga anaknya yang lain tidak mempunyai sebarang masalah dengan sijil kelahiran.

Satu lagi pasangan warga tempatan yang berdepan dengan masalah akibat daftar lewat sijil kelahiran ialah Cyril Idang, 41 dan Rubikah Gani, 41 yang berasal dari Kampung Apin-Apin Keningau.

Cyril berkata, kelewatan itu berlaku disebabkan surat perjanjian perkahwinan (kahwin adat kampung) mereka tidak diterima untuk pendaftaran sijil kelahiran. Maka, ia mengambil masa sebulan untuk proses mendapatkan sijil kahwin baharu dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan selepas itu barulah sijil kelahiran anaknya dapat dipohon.

Cyril dan anaknya, Jeffrans.

“Kami terpaksa buat sijil kahwin baharu untuk membolehkan kami mendapatkan sijil kelahiran untuk anak bongsu kami.

“Dua anak kami sebelum ini masih boleh menggunakan surat perjanjian perkahwinan untuk pendaftaran. Hanya semasa pendaftaran sijil kelahiran anak bongsu kami ini sahaja surat perkahwinan melalui cara kampung itu tidak lagi diterimapakai oleh JPN.

Atas sebab itu, permohonan IC Jeffrans yang memasuki Tingkatan Satu ini agak bermasalah. Permohonan mendapatkan pengesahan mahkamah ini dihantar pada Februari.

Cyril berkata, beliau amat menghargai usaha membawa mahkamah bergerak itu ke kawasan pedalaman kerana ia menyebabkan urusan mereka lebih mudah.

Katanya, mereka tidak perlu berurusan berulang kali di mahkamah kerana urusan melalui mahkamah bergerak itu sangat pantas dan efisien.