Pasangan Warga Emas Menumpang Di Tempat Pembuangan Sampah

Jurrah dan Amil yang kisahnya tular di Facebook, mendirikan kediaman dicelah pokok pisang dan tapak pembuangan sampah.

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Kotor dan usang. Itu adalah gambaran yang dapat diberikan ketika kali pertama menjejakkan kaki ke pondok kediaman pasangan warga emas, di Jalan Damai, di sini, hari ini.

Borneo Today berkesempatan mengunjungi kediaman Amil Bala, 70-an, dan isterinya Jurrah Abdul Halim, 62, yang dibina di atas tapak pembuangan sampah haram sejak empat tahun lalu, selepas kisah mereka tular di laman sosial Facebook, semalam.

Terdahulu, sebelum ketibaan wartawan, hujan lebat baru saja turun menyebabkan kawasan kediaman pasangan itu berlumpur dan dipenuhi air bertakung.

Kediaman Jurrah dan Amil yang usang dan menanti masa untuk rebah menyembah bumi.

Jurrah berkata, sebelum itu, mereka yang pernah menetap di rumah sewa sekitar bandar Tawau dan berpindah ke Lahad Datu untuk bekerja di sebuah ladang, di sana, 10 tahun lalu.

“Namun disebabkan masalah kesihatan, suami terpaksa berhenti kerja.

“Sejak itu, kami terpaksa berpindah randah kerana tidak mampu membayar sewa sebelum kali terakhir kediaman setinggan mereka di Lahad Datu, dirobohkan,” katanya.

Bahagian dalamn kediaman pasangan warga emas ini.

Jurrah dan suami kemudian mengambil keputusan untuk berhijrah ke Tawau semula, dan sejak itu, mereka mula menetap di sini, selepas dibenarkan tuan tanah.

“Walaupun tidak dikurniakan anak, kami masih mempunyai keluarga lain di Semporna, namun enggan membebankan mereka yang juga mengalami kesempitan hidup,” katanya.

Menurut Jurrah, sejak berpindah ke situ, mereka hanya menternak ayam dan bercucuk tanam bagi menyara kehidupan mereka berdua seharian.

“Dalam masa sama, ada jiran tetangga termasuk tuan tanah yang prihatin dan sudi membantu kami,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di bahagian dalam rumah mendapati keadaan laluan yang sempit selain banyak botol yang berisi air dipercayai air hujan yang digunakan pasangan ini untuk keperluan harian mereka termasuk membasuh akibat ketiadaan bekalan air di situ.

Sebahagian bumbung kediaman mereka juga bocor dan tidak beratap menyebabkan bahagian dalam rumah basah apabila hujan berlaku.

Bagaimana, apabila ditanya mahu berpindah ke rumah lebih selesa, Jurrah dan suami menyatakan keengganan, mungkin disebabkan keprihatinan jiran tetangga terhadap mereka berdua selama empat tahun berada di situ.

“Biarlah kami menghabiskan sisa hidup di sini dan kami tidak mahu menyusahkan sesiapa,” katanya.