Pasangan Kekasih Antara 12 Ditahan Di Sandakan Kerana Dadah

Anggota AADK membawa suspek yang disyaki penagih dadah di Sandakan. – Gambar ihsan AADK

SANDAKAN: Pasangan kekasih antara 12 orang yang ditahan dalam Operasi Cegah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Isnin lalu.

Ketika diserbu, wanita terbabit yang berusia 24 tahun dikatakan sedang tidur bersama-sama teman lelakinya, dalam satu bilik di rumah wanita berkenaan di Taman Rajawali, di sini.

Wanita yang ditahan di Sandakan bersama-sama teman lelakinya selepas didapati positif dadah jenis methamphemine. – Gambar ihsan AADK.

Ketua Pegawai AADK Daerah Sandakan, Aisyah Abdul Karim, berkata pemeriksaan air kencing kemudian mendapati kedua-duanya positif dadah jenis methamphetamine.

Selain pasangan kekasih itu, katanya, turut ditahan seorang lelaki yang juga bapa kepada tiga anak berusia tiga hingga lima tahun.

Beliau berkata, operasi itu yang membabitkan enam anggota AADK dilaksanakan sehari suntuk, bermula jam 9 pagi dan berakhir pada kira-kira jam 11 malam.

Katanya, ia menumpukan lima tempat, iaitu Kampung Sungai Kayu, Tinusa 1, Tinusa 2, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Murni dan Batu 12.

“Daripada 13 orang yang diperiksa, 12 orang positif dadah dan dibawa ke Pusat Tahanan Reman untuk tindakan lanjut.

“Semua suspek berusia antara 19 hingga 40 tahun,” katanya dalam kenyataan di sini, hari Rabu. – Poliana Ronnie Sidom/bharian.com.my

BERITA SELANJUT: –

https://www.bharian.com.my/berita/kes/2017/11/353929/cinta-membawa-ke-lokap