PAS Tubuh Enam Cawangan Baharu di Labuan

LABUAN: Parti politik yang berpusat di Semenanjung, PAS, hari ini mengumumkan penubuhan enam lagi cawangan baharu di sini, selepas 23 tahun melebarkan sayapnya di pulau bebas cukai itu.

Cawangan tersebut adalah Batu Arang/Sungai Keling, Sungai Labu, Bukit Kalam, Kilan, Sungai Miri dan Rancha-Rancha.

PAS Labuan sebelum ini hanya mempunyai empat cawangan iaitu Gersik, Sungai Bedaun, Layang-Layangan dan Tanjung Aru, dengan hampir 500 ahli ketika pertama kali ditubuhkan di sini pada 1998 dan dengan pertambahan enam cawangan baharu, PAS Labuan kini mempunyai 10 cawangan keseluruhannya.

Yang Dipertua PAS Labuan Hamir Zahari berkata usaha pengambilan ahli terus dijalankan untuk mencapai sasaran penubuhan cawangan di kesemua 27 kampung di sini.

“Jumlah ahli PAS di Labuan meningkat dua kali ganda kepada lebih daripada 800 ahli selepas PAS bergabung dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan sokongan terhadap perjuangan parti itu telah menunjukkan peningkatan sejak penggabungan berkenaan,” katanya kepada Bernama.

Hamir berkata sokongan daripada penduduk bukan Islam di Wilayah Persekutuan itu juga positif biarpun mereka tiada sebarang kedudukan dalam parti.

“Sewaktu kami menjadi pembangkang dahulu, pemikiran masyarakat terhadap PAS adalah berbeza berbanding ketika kami berada dalam kerajaan sekarang, sokongan terhadap PAS kini sangat luar biasa…kami akan terus berkhidmat untuk rakyat tanpa mengira ideologi politik, bangsa dan agama,” katanya.