Pas Sementara Sabah, Bukti Kerajaan Serius Tangani PTI Di Negeri Ini – Shafie

159

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Pengeluaran Pas Sementara Sabah (PSS) yang akan bermula pada Jun 2020 dilihat akan membantu mengatasi masalah berkaitan keperluan buruh asing di Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, langkah itu akan membantu menyelaraskan keperluan buruh dalam sektor perladangan di Sabah yang kini berdepan dengan ketandusan buruh sehingga ia menjejaskan hasil perladangan mereka.

”Kita tahu pertemuan dengan pemilik ladang-ladang, mereka memerlukan buruh dan ketandusan…sebab harga sawit jatuh dan buah pula tidak dapat dikutip. Jadi ini antara langkah yang perlu diatasi.

Beliau berkata, pengeluaran PSS itu membuktikan keseriusan kerajaan dalam menangani masalah Pendatang Tanpa Izin (PTI) di Sabah. PSS akan menggantikan dokumen IMM13, Kad Burung-Burung dan Sjil Banci yang dikeluarkan kepada warga asing di Sabah sebelum ini.

Mohd Shafie berkata, langkah mengeluarkan PSS itu adalah rentetan daripada perkara yang telah diperhalusi di peringkat Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai PTI di Sabah dulu dan salah satunya melibatkan kepelbagaian dokumentasi yang dikeluarkan.

”Dengan adanya penyelarasan seumpama ini kita mahu memastikan ia dapat diurus dan dikawal dengan baik oleh Jabatan Imigresen Sabah,” katanya ketika Sidang Media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah, di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS).

Mesyuarat itu dipengerusikan bersama dengan Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, beliau mahu mengenalpasti struktur bagi memastikan apabila PTI yang sudah dihantar pulang ke negara asal mereka itu datang semula ke Sabah, mereka kena dokumen yang sahih.

Beliau berkata, penyelarasan melalui pengeluaran PSS ini amat penting kerana sudah banyak PTI yang dihantar pulang iaitu 586,367 orang sejak 1990 hingga 4 September.

Dengan adanya langkah sebegini, beliau yakin usaha menangani masalah PTI yang banyak dilontarkan pelbagai pihak yang prihatin dengan isu berkenaan dapat diselesaikan.