Parti Warisan Labuan Lancar Manifesto, 20 Fokus Utama

LABUAN: Parti Warisan Labuan melancarkan manifesto yang menggariskan 20 perkara sebagai fokus utama sepanjang kempen Pilihan Raya Umum Ke-15.

Calon Parti Warisan yang juga penyandang kerusi Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli berkata 20 perkara utama itu (sekiranya dilaksanakan) boleh membantu melonjakkan pembangunan ekonomi Labuan seterusnya membawa kepada kesejahteraan rakyat.

Katanya projek pembangunan dalam Pelan Pembangunan Labuan 2030 (Labuan Development Blueprint 2030) harus terus dilaksanakan bagi mencetuskan pelbagai pembangunan ekonomi di pulau bebas cukai di sini.

“Dalam manifesto ini, kita nyatakan keperluan untuk mengukuhkan status bebas cukai Labuan yang boleh memberi manfaat kepada Labuan.

“Kita juga mahu melihat kepelbagaian ekonomi, tanpa perlu bergantung dalam sektor minyak dan gas serta sektor perniagaan dan kewangan, bagi membolehkan peluang pekerjaan tidak hanya terhad kepada kedua sektor ini sahaja,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Manifesto Parti Warisan [email protected] Labuan di Markas Warisan Labuan dekat sini hari ini.

Rozman berkata manifesto itu juga menekankan kepada keperluan untuk memulihkan industri logistik dan perkapalan termasuk aktiviti ‘barter trade’.

“Sudah semestinya, usaha berterusan adalah perlu untuk menjadikan Labuan sebagai hab pendidikan serantau dengan menaik-taraf Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan sebagai universiti penuh (full-pledged university).

“Kita juga mahu melihat usaha dilaksanakan untuk mempergiatkan lagi sektor industri kecil dan sederhana yang mampu menghidupkan aktiviti ekonomi seterusnya membuka peluang pekerjaan,” katanya.

Rozman juga menyentuh kepada permasalahan pemilik tanah yang dikaitkan dengan pelaksanaan Kanun Tanah Negara.

“Seperti dalam manifesto itu, kita mahu melihat ada pindaan boleh dibuat dalam Kanun Tanah Negara ini untuk kesesuaian di Labuan agar pemilik tanah tidak berasa tertekan tetapi terbela,” katanya.

Rozman berdepan persaingan enam penjuru bersama lima calon lain iaitu Datuk Bashir Alias calon Barisan Nasional (BN), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Perikatan Nasional [PN]) dan Datuk Dr Ramli Tahir mewakili Pakatan Harapan.

Dua calon lain mewakili Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) masing-masing mencalonkan Dayang Rusimah @ Raynie Datuk Mohd Din (ketua bahagian PBM Labuan) dan Datuk Seri Ramle Mat Daly yang merupakan presiden Pertubuhan Skuad Bakti Malaysia (PSBM).

Labuan kini mempunyai 44, 484 pengundi berbanding 28,356 pada PRU14.