Parti Warisan: Ketidakstabilan Di Sabah Ialah Angkara Umno Sendiri

Parti Warisan mencabar Dr Ahmad Zahid untuk memulakan siasatan terhadap individu-individu yang dinamakan dalam buku “Lest We Forget” yang menghuraikan punca ketidakstabilan negeri ini yang sebenarnya

Loretto Padua Jr

Oleh LORETTO PADUA Jr
SURAT: Saya merujuk kepada kenyataan dibuat oleh Timbalan Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini dimana beliau telah menyalahkan parti USNO dan BERJAYA sebagai punca kepada ketidakstabilan politik di negeri ini.

2. Adalah menjadi tanggungjawab saya untuk membidas gambaran negatif yang cuba diperketengahkan oleh Zahid Hamidi sekiranya Warisan mengambil-alih tampuk Kerajaan Negeri pada pilihanraya umum yang akan datang ini.

3. Kita sedia maklum bahawa pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO Malaya sebenarnya telah memainkan peranan dibelakang tabir sejak 1962 lagi dalam usaha mereka untuk mengawal corak politik negeri ini demi kepentingan politik parti tersebut.

4. Bermula dengan kaedah ‘pecah dan perintah’, pemimpin-pemimpin UMNO Malaya telah menggalakkan penubuhan parti-parti politik yang berteraskan kaum dan agama seperti UNKO (Kadazan), USNO (Bajau), Pasok Momogun (Dusun) dan SCA (Cina) dan sebagai umpan, mereka akan memberi sokongan politik kepada mana-mana Presiden parti yang taat setia kepada UMNO Malaya, walaupun terdapat beberapa etnik yang akan ketinggalan disebabkan oleh kaedah ini.

5. Kaedah ‘pecah dan perintah’ oleh UMNO ini ternyata tidak berkesan di Sabah bilamana krisis politik pada akhir 60an telah menyaksikan bagaimana UNKO telah bergabung dengan Pasok menjadi UPKO tetapi dibubarkan tidak lama selepas itu dan ahli-ahlinya pula terpaksa menyertai USNO.

6. BERJAYA pula yang ditubuhkan dengan bantuan UMNO pada masa itu wujud bukanlah atas alasan penindasan yang dialami oleh bumiputra bukan Islam tetapi kerana Tun Mustapha yang merupakan Ketua Menteri Sabah pada masa itu tidak mahu tunduk kepada kemahuan UMNO termasuklah mengenai isu Akta Pembangunan Petroluem 1972.

Ahmad Zahid Hamidi

7. Maka bukankah ‘ketidakstabilan politik’ ketika zaman pemerintahan USNO yang dikatakan oleh Zahid Hamidi ini sebenarnya adalah disebabkan oleh campurtangan UMNO sendiri?

8. Zahid Hamidi juga silap apabila dia mengatakan bahawa ‘ketidakstabilan politik’ terjadi ketika era pemerintahan BERJAYA kerana kestabilan dan kemajuan Negeri Sabah dapat dilihat dengan jelas sekali pada masa itu dimana penekanan diberikan terhadap sistem pentadbiran bebas rasuah, pengagihan sama rata keuntungan kepada rakyat Sabah melalui penubuhan korperasi-korperasi, pemberian lot-lot tanah kepada rakyat Sabah, penyediaan infrastruktur yang masih kekal hingga hari ini serta bantuan-bantuan persekolahan dan pendidikan melalui Yayasan Sabah.

9. Maka dalam hal ini, saya berpendapat bahawa Zahid Hamidi sebenarnya cuba untuk memberikan gambar kepada rakyat Sabah bahawa sekiranya kita tidak tunduk kepada telunjuk UMNO, maka ‘ketidakstabilan politik’ akan terjadi di negeri yang kita cintai ini.

10. Rakyat Sabah sudah pastinya merasa marah dengan kenyataan berbau ugutan yang dibuat oleh Zahid Hamidi ini kerana beliau menyifatkan rakyat Sabah sama seperti pemimpin-pemimpin lalu Sabah yang tidak mahu tunduk kepada kemahuan-kemahuan pemimpin-pemimpin lalu UMNO.

11. Sebaliknya, Sabah mengalami ‘ketidak-stabilan sosial’ disepanjang era pentadbiran UMNO selama 23 tahun ini yang telah mengakibatkan implikasi ekonomi yang buruk kepada rakyat Sabah.

12. Kehadiran ribuan warga asing di negeri ini seperti tidak ada kesampaiannya sehinggakan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Richard Malanjum turut sama menyoal mengapakah wujudnya jumlah warga Pakistan yang luarbiasa ini.

Bukankah ini ialah satu bentuk ‘ketidakstabilan’ dalam negeri Sabah yang kita cintai ini?

13. Kejadian pencerobohan dan penculikkan yang terjadi berulangkali bermula dengan kes penculikkan di Sipadan pada awal tahun 2000an sehinggalah 2015, ‘Tragedi Tanduo’ dan kehadiran militant ‘Royal Sulu Army’ yang ditembak mati di Bandar Penampang Baru serta kehadiran ratusan ribu PTI dan hampir 50,000 ‘Stateless Kids’ ialah bukti kukuh tentang ‘ketidakstabilan’ yang sedang terjadi di Negeri Sabah dibawah pentadbiran UMNO.

14. Nyata sekali Negeri Sabah sedang mengalami ‘ketidakstabilan’ yang kritikal namun “demographic engineering” ini tidak disebut langsung oleh Zahid Hamidi tetapi beliau dengan sewenang-sewenangnya mengatakan bahawa kememangan Warisan bakal akan mengakibatkan ‘ketidakstabilan politik’ di negeri ini!

15. Maka dalam hal ini, saya mencabar Zahid Hamidi untuk memastikan negeri ini stabil terlebih dahulu sebelum membuat kenyataan serong yang mengelirukan rakyat Sabah dengan menyiasat individu-individu yang terlibat dalam skandal pemberian kewarganegaraan kepada ratusan ribu PTI yang datang ke Sabah yang dihuraikan secara teliti oleh Dr. Chong Eng Leong dalam buku beliau yang bertajuk “Lest We Forget”.

16. Buku “Lest We Forget” yang telah dijadikan rujukan ketika sesi pendengaran Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kehadiran PTI di Sabah ini dengan jelas menyatakan siapakah individu-individu yang telah menyebabkan ‘kestabilan’ yang amat teruk sekali di negeri kita ini demi kepentingan politik UMNO.

17. Ahli Parlimen Penampang yang juga merupakan Timbalan Presiden Parti Warisan Sabah, Darell Leiking telahpun membawa perkara ini ke mesyuarat Parlimen baru-baru tetapi ianya telah ditolak atas alasan ianya adalah perkara remeh-temeh sedangkan masalah PTI adalah masalah utama yang dihadapi oleh Sabah sejak dari dulu lagi.

18. Zahid Hamidi sepatutnya melihat permasalahan yang dihadapi oleh rakyat Sabah ini sebagai satu masalah yang serius yang perlu diselesaikan oleh Kerajaan Malaysia dan bukannya isu-isu politik semata-mata yang hanya akan dibincangkan bila Pilihanraya tiba.

  • Loretto Padua Jr. ada Setiausaha Agung Parti Warisan Sabah