Parti Sarawak Sokong Mohd Shafie Calon PM

Oleh AZIS KHAN
KUCHING: Parti Sarawak Bersatu (PSB) menyatakan sokongan kepada Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri jika Pakatan Harapan (PH) Plus kembali memerintah Putrajaya.

Dalam satu kenyataan, PSB berkata, pencalonan Mohd. Shafie tidak pernah berlaku selama ini justeru sokongan diberikan bagi mendokong status bahawa Sabah dan Sarawak adalah rakan kongsi Semenanjung.

“Pencalonan pemimpin dari Malaysia Timur sebagai Perdana Menteri adalah sasaran yang diperjuangkan Sarawakian yang setia,” kata PSB seperti dilaporkan Malay Mail.

PSB mempunyai dua Ahli Parlimen iaitu Baru Bian (Selangau) dan Datuk Masir Kujat (Sri Aman).

Mohd. Shafie sebelum ini dicadangkan sebagai calon Perdana Menteri oleh bekas penjawatnya, Tun Dr. Mahathir Mohamad.