Parlimen: Kompleks Sukan Labuan dijangka siap November 2022

KUALA LUMPUR: Projek menaik taraf Kompleks Sukan Labuan akan bermula November tahun ini dan dijangka siap pada November 2022, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Beliau berkata kompleks itu memerlukan proses naik taraf dan sejumlah RM20 juta diperuntuk bagi kos projek berkenaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong bagi kementerian itu pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Reezal Merican juga berkata projek berkaitan kompleks sukan daerah Tenom, Sabah pula ketika ini berada pada peringkat penilaian dan akan dimuktamadkan.

“Projek ini telah diperuntukkan sejumlah RM8 juta dan akan ditender pada bulan September. Projek dijangka bermula pada Januari 2021 dan dijangka siap pada Julai 2022,” katanya.