Parlimen: Jambatan Labuan di fasa akhir kajian kebolehlaksanaan

KUALA LUMPUR: Kajian kebolehlaksanaan projek pembinaan jambatan yang menghubungkan Labuan dengan tanah besar Borneo, khususnya Sabah, kini di peringkat akhir, kata Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata satu kertas jemaah menteri sedang disiapkan kementeriannya bersama Kementerian Kerja Raya bagi mendapat kelulusan untuk membuat Permohonan Cadangan (RFP) bagi membina jambatan itu.

“… Labuan mempunyai kedudukan yang strategik dan boleh diangkat kepada satu kedudukan yang lebih tinggi sesuai dengan kedudukannya sebagai sebahagian daripada Wilayah Persekutuan (WP),” katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Mengulas mengenai dasar perumahan awam di Kuala Lumpur, Annuar berkata kementeriannya telah meminta agar dasar perumahan yang khusus untuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) digubal semula supaya mempunyai perancangan yang lebih rapi.

Kementerian, katanya, telah menyasarkan pembinaan 80,000 unit rumah mampu milik di Wilayah Persekutuan (WP) dan berharap projek itu dapat disiapkan menjelang 2028.

“Sehingga Jun lepas, sebanyak 57,799 unit bagi 93 projek telah dikeluarkan perintah pembangunan bagi membina rumah kepada warga WP iaitu di Kuala Lumpur sebanyak 54,111 unit, WP Putrajaya sebanyak 2,908 dan WP Labuan sebanyak 780 unit.

“Daripada jumlah itu sebanyak 15,431 unit rumah di 26 projek telah siap dibina dengan jumlah lebih 24 peratus, sementara 27,332 unit rumah di 37 projek masih dalam pembinaan,” katanya.

Sementara itu, Annuar berkata sehingga 30 Jun lepas, jumlah permohonan berdaftar dan masih aktif di bawah sistem e-perumahan DBKL adalah sebanyak 35,141 permohonan dan daripada jumlah itu, sebanyak 1,080 pemohon telah diluluskan dan mereka sedang disemak taraf pendapatan dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Beliau berkata pihaknya turut memberi jaminan akan mewartakan tanah di Taman Tugu untuk kekal sebagai taman awam.

“Kita telah mengambil langkah-langkah tertentu untuk memastikan syarat nyata tadi iaitu tanah pada kategori bangunan diubah selari dengan apa yang telah diputuskan oleh kerajaan ia harus menjadi taman awam,” katanya.