Parlimen Bukan Medium Komunikasi Sehala – Shafie Apdal

TAWAU: Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal melemparkan kritikan terhadap tindakan kerajaan yang hanya membenarkan sesi taklimat dalam persidangan Parlimen yang akan berlangsung pada 26 Julai ini.

Ahli Parlimen Semporna ini berkata, jika persidangan itu sekadar satu taklimat, sebahagian besar yang akan dibentangkan sudah didengar melalui media massa.

“Kita tidak boleh menjadikan Parlimen sebagai wadah komunikasi satu hala atau ‘rubber stamp’ semata,” katanya selepas melawat mangsa dan tapak kebakaran Kampung Titingan, di sini semalam.

Menurutnya, sepatutnya persidangan Parlimen khas ini membolehkan ahli-ahli Parlimen membahaskan ordinan yang pernah diluluskan sebelum ini dan bukan sekadar mendengar sesi taklimat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang ini berkata, persidangan Parlimen tanpa perbahasan ini jelas bercanggah dengan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah yang bersetuju untuk Parlimen bersidang.

“Persidangan ini sepatutnya memberi ruang kepada pembentangan Rang Undang-Undang Darurat yang telah Tuanku perakukan.

“Artikel 150(3) Perlembagaan Malaysia cukup jelas, kita perlu meluluskan Rang Undang-Undang Ordinan, tetapi haruslah melalui perbahasan secara terperinci,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd Shafie juga mahu kerajaan mengambil langkah proaktif dalam menangani pandemik Covid-19 di negara ini.

Katanya, pengurusan yang tidak teratur menyebabkan proses vaksinasi yang sedang dilaksanakan berjalan agak lambat.

Seharusnya penglibatan sektor swasta dan petugas perubatan dari Angkatan Tentera Malaysia dibabitkan sejak dari awal agar tidak berlaku kesesakan di hospital kerajaan mahupun Pusat Pemberian Vaksin (PPV) seperti yang berlaku sebelum ini.