Parlimen Bersidang Hingga Semua Urusan Peringkat Dasar Belanjawan 2021 Selesai

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat hari ini tidak akan ditangguhkan sehingga semua urusan peringkat dasar Belanjawan 2021 selesai, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Takiyuddin Hassan.

“Tanpa mengambil kira usul Peraturan Mesyuarat 12(1) terdahulu iaitu pada Khamis, 5 Nov 2020 dan mengikut peraturan 12(1), saya memohon mencadangkan bahawa mesyuarat hari ini, Khamis 26 Nov 2020, tidak akan ditangguhkan sehingga selesai giliran semua kementerian menjawab perbahasan di peringkat dasar Rang Undang-undang Perbekalan 2021 dan diputuskan bacaan kali kedua dan usul mengenai anggaran pembangunan,” katanya.

Usul itu disokong Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.

Lanjutan tempoh persidangan itu bagi membolehkan pengundian peringkat dasar Belanjawan 2021 dijalankan hari ini, selepas Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menggulung perbahasan rang undang-undang itu bagi pihak Kementerian Kewangan. 

Sebelum ini, Takiyuddin mengemukakan usul mencadangkan persidangan Dewan Rakyat pada semalam, 25 Nov dilanjutkan sehingga 3 petang dan usul itu dibuat menurut Peraturan Mesyuarat 12(1).

Mengikut Aturan Urusan Mesyuarat hari ini, sembilan kementerian dijadual menggulung perbahasan rang undang-undang itu termasuk Kementerian Kesihatan, Kementerian Luar dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.