Papagomo Diserang Di KKIA?

6850

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Sebuah video berdurasi seminit 21 saat tular di laman sosial Facebook malam ini menunjukkan pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo cuba diserang oleh beberapa lelaki.

Insiden tersebut dipercayai berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) ketika Papagomo sedang menunggu penerbangan pulang ke Kuala Lumpur.

Berdasarkan percakapan beberapa lelaki di dalam video itu, punca serangan itu dipercayai akibat tindakan Papagomo mengoyakkan gambar Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal di Membakut dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, Khamis lalu.

Beliau yang terkenal dengan amalan budaya politik agresif di Semenanjung selama ini diselar oleh netizem kerana didakwa tidak menghormati Ketua Menteri melalui tindakannya itu.

Rata-rata netizen marah dengan budaya politik samseng yang cuba dibawa ke negeri ini oleh parti politik dari Semenanjung.

Sementara itu, melalui rakaman itu, kedengaran beberapa lelaki meminta beliau memohon maaf daripada Mohd. Shafie atas tindakannya.

Dalam pada itu, pihak polis masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan tentang insiden berkenaan.