Pantau Kewujudan Kartel Atasi Kenaikan Harga Barangan

KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal menggesa kerajaan segera menyiasat kewujudan sebarang bentuk pakatan (kartel) yang memanupulasi harga barangan di negara ini.

Beliau tidak menolak kemungkinan, kenaikan harga barangan yang berlaku sejak kebelakangan ini akibat kewujudan kartel dalam pasaran.

Kerajaan tidak boleh membiarkan tindakan memanupulasi harga barangan ini berterusan dan meletakkan rakyat dalam keadaan yang sukar terutama ketika pandemik Covid-19 ini.

Baru-baru ini, kenaikan harga ikan dan juga harga ayam sehingga 30 peratus amat membimbangkan kerana kedua-duanya merupakan sumber makanan utama kebanyakan rakyat di negara ini.

“Harga ikan juga mengalami peningkatan yang ketara hingga menyebabkan jualan ikan dan makanan laut dikatakan mengalami kemerosatan hampir 80 peratus. Memandangkan ayam dan ikan merupakan sumber makanan utama isi rumah kebanyakan rakyat Malaysia, peningkatan harga ini adalah membimbangkan.

“Tambahan pula, Jabatan Perangkaan Malaysia merekodkan Indeks Harga Pengguna (CPI) pada bulan Julai adalah kurang memberangsangkan iaitu pada kadar mata 122.5, jatuh 0.6 peratus daripada bulan sebelumnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini

Mohd Shafie berkata, biarpun kerajaan sedang membuat rundingan dengan pihak pengeluar untuk menetapkan harga maksima bagi produk ayam dan ikan dan ini satu perkara biasa yang dilakukan oleh kerajaan setiap kali berdepan dengan kenaikan harga barangan.

Dalam menangani kenaikan harga yang mendadak, kerajaan juga perlu mengenakan tindakan yang tegas mengikut Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (Akta 712) iaitu bagi melarang sebarang bentuk pakatan yang bersifat anti-persaingan.

“Pemakaian undang-undang sebegini sekaligus boleh menstabilkan harga pasaran dan langkah ini turut digunakan di kebanyakan negara.

“Tindakan pengkuatkuasaan dan denda yang tinggi memberikan satu bentuk peringatan kepada semua pengeluar dan peruncit makanan dan barangan agar sentiasa patuh dengan undang-undang anti-persaingan,” ujarnya.

Ahli Parlimen Semporna ini berkata, sebarang bentuk manipulasi akan mengganggu gugat kestabilan harga barangan di pasaran.

Tambahnya, kartel menaikkan harga barangan juga boleh berlaku sekiranya mana-mana pihak berjaya mengawal rantaian bekalan. Ini termasuk dengan membuat sorokan stok barangan.

Malah, kerajaan juga harus melakukan lebih banyak tadbir urus dan konsultasi dengan pihak berkepentingan seperti peruncit yang berdepan dengan bebanan sewa premis yang meningkat. Peniaga mungkin terpaksa memindahkan kos kepada pengguna dengan menaikkan harga barangan.

Merujuk kepada rekod yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar inflasi yang dinilai melalui kuasa belian pengguna telah meningkat sebanyak 16.7 peratus dalam tempoh sepuluh tahun kebelakang ini. Ini merupakan satu trend yang membimbangkan.