Pantai Tanjung Lipat Dipenuhi Sampah Mula Dibersihkan

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) terpaksa melakukan 18 trip perjalanan bagi menghantar sampah dari pantai Tanjung Lipat di Taman Awam Teluk Likas ke pusat pelupusan sampah Kayu Madang.

Dalam satu kenyataan, DBKK memaklumkan, sampah yang banyak itu mengambil masa selama dua hari untuk dibersihkan oleh petugas Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal, DBKK.

Pada 24 September, tular sebuah video berdurasi 57 saat yang menunjukkan keadaan sampah yang mencemari pemandangan di pantai Taman Awam Teluk Likas.

DBKK memalumkan, taburan sampah sepanjang pantai Taman Awam Teluk Likas ini dipercayai kesan daripada situasi banjir kilat yang berlaku beberapa hari lepas dalam Kawasan Bandaraya Kota Kinabalu.

Susulan hujan lebat berpanjangan dan kenaikan paras air laut menyebabkan sampah-sampah dan sisa-sisa tumbuhan telah hanyut melalui sungai-sungai di kawasan sekitar menyebabkan keadaan di pantai Taman Awam Teluk Likas menjadi kotor.

Bagaimanapun pihak DBKK mengambil langkah segera dengan membersihkan kawasan pantai tersebut. Pembersihan susulan turut dilakukan hari ini.