Pangkalan Data Lengkap Perlu Disediakan Permudahkan Proses Pembangunan Dilaksana

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Pentadbiran di peringkat daerah diingatkan supaya menyediakan pangkalan data yang lengkap berkaitan potfolio daerah masing-masing bagi memudahkan proses pembangunan dilaksanakan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, setiap daerah perlu menyenaraikan jumlah rumah dan penghuni rumah di daerah masing-masing.

“Pegawai daerah kena tahu berapa jumlah rumah dan berapa ramai penghuni setiap rumah yang berada di daerah mereka. Kena tahu apa masalah kesihatan dan kedaifan mereka.

“Ini akan memudahkan proses menyampaikan bantuan dilakukan supaya ia selaras dengan keperluan masyarakat dengan akar umbi,” katanya semasa berucap dalam Majlis Perasmian Persidangan Pegawai-pegawai daerah negeri Sabah ke-24, di sini hari ini.

Beliau berkata, pentadbiran di peringkat daerah juga perlu beralih kepada sistem digital bagi membolehkan langkah penjimatan kewangan dalam sistem urus tadbir daerah dapat dilakukan.

Mohd Shafie juga mengingatkan pegawai-pegawai daerah supaya sentiasa bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan bagi memastikan kordinasi dalam sistem pentadbiran daerah dapat diwujudkan.

”Sekiranya struktur yang ada dalam sistem pentadbiran tidak dapat dikordinasi dengan baik, ia akan menyebabkan berlakunya ketirisan kewangan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau mahu memastikan kemudahan prasarana masyarakat luar bandar terus diberi perhatian agar keseimbangan dalam pembangunan dapat diwujudkan.

Katanya, beliau tidak mahu ada masyarakat luar bandar yang terus dipinggirkan daripada menikmati pembagunan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sejak mengambil tampuk pemerintahan, beliau turut memberi perhatian tentang keperluan meningkatkan skala gred pegawai daerah dan semua pegawai perkhidmatan awam.

Katanya, 13 pegawai daerah ditingkatkan skala gred mereka daripada gred 48 kepada gredn 54 setelah mengambil kira bebanan tugas yang harus dipikul oleh pegawai daerah.