Pandikar Hidupkan Kembali Akar Untuk Selamatkan Karier Politik

139
PANDIKAR AMIN MULIA

Oleh AZIS KHAN
KOTA KINABALU: Bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia sedang merancang untuk menghidupkan kembali Angkatan Keadilan Rakyat Bersatu atau Parti Akar dalam usaha menyelamatkan karier politik beliau.

Pemimpin politik veteran itu berkata, beliau tidak merancang untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau mengambil alih USNO seperti dilaporkan sebelum ini berikutan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah tidak menunjukkan tanda-tanda mahu menerimanya.

“Saya akan mengetuai parti tempatan. Saya akan hidupkan kembali Akar dengan barisan kepimpinan baharu.

“Kebanyakannya terdiri daripada pemimpin muda manakala baki 30 peratus adalah pemimpin yang berpengalaman. Sekarang tunggu pengumuman,” katanya ketika ditanya sama ada beliau mahu mendaftar semula Akar.

Pada tahun 2001, Pandikar telah membubarkan Akar yang merupakan komponen Barisan Nasional (BN) ketika itu untuk membolehkan ahli-ahlinya menyertai UMNO.

Akar telah ditubuhkan oleh kumpulan penentang daripada Parti Bersatu Sabah (PBS) yang diketuai Datuk Mark Koding pada 1989.

Pada masa itu, PBS adalah parti pemerintah Sabah di bawah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Akar menyertai BN selepad PBS meninggalkan gabungan tersebut.

Pandikar kini adalah Presiden pertubuhan bukan kerajaan berasaskan etnik, Pertubuhan Bumis Sabah Bersatu (USBO) selepas mengambil alih jawatan itu daripada Datuk Seri Salleh Said Keruak yang kini dilantik penasihat.

Sempena sambutan Hari Malaysia 2019 anjuran USBO di Kota Belud bulan lalu, Pandikar dan Salleh menzahirkan sokongan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri seterusnya selepas Tun Dr. Mahathir Mohamad meletak jawatan.

Sementara itu, minggu lalu Salleh mengesahkan beliau telah memohon untuk menyertai PKR.

Tindakan itu menyebabkan pemimpin PKR Sabah menolak, sebelum dijelaskan oleh Anwar bahawa Biro Politik PKR akan mengkajinya terlebih dahulu.

Dalam pertemuan bulan lalu, Pandikar turut mengadakan satu majlis untuk mengeratkan hubungan dengan Anwar yang keruh sebelum ini.

Perkara itu menyebabkan timbul spekulasi beliau menyertai PKR.

Bila ditanya tentang majlis yang diadakan di sebuah pantai di Kota Belud, Pandikar berkata:

“Politiklah kan. Tetapi persefahaman dari awal ialah saya tidak akan menyertai PKR,” katanya.

Pandikar dan Salleh adalah antara pemimpin tertinggi UMNO Sabah diketuai Datuk Seri Hajiji Noor yang meninggalkan parti itu

Bagaimanapun, kedua-dua mereka tidak diterima ke dalam Bersatu yang telah mengembangkan sayap ke Sabah.