Pameran Hartanah 2019, Pusat Sehenti Buat Pembeli Rumah

SETH QUEK TECK SENG

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Pameran Hartanah Sabah 2019 (Propex19) akan berfungsi sebagai pusat sehenti bagi membantu menyelesaikan keperluan pembeli rumah dari A-Z.

Itu antara kelainan yang ditampilkan dalam pameran hartanah kali ini, kata Pengerusi Penganjur Propex19 Seth Quek Teck Seng semasa sidang media, di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, penglibatan perkhidmatan perbankan dan AirBnB akan memudahkan pembeli rumah untuk memperoleh pinjaman dan seterusnya mendapatkan maklumat bagaimana untuk menyenaraikan kediaman mereka dalam AirBnB.

Selain itu, terdapat juga permainan VAR, pencarian harta karun melalui pencarian kod QR, hadiah cabutan bertuah dan penyertaan kampus pintar Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan memeriahkan lagi pameran yang diadakan.

Seth (duduk-lima kanan) bersama jawatankuasa Persatuan Pemaju Perumahan & Hartanah Sabah yang lain mempromosikan Propex19.

Katanya, pameran yang akan berlangsung pada 26 hingga 28 Oktober ini memerlukan pengunjung mendaftar secara online menerusi e-registration.

Menurutnya, terdapat 29 pemaju mengambil bahagian dalam pameran hartanah tahun ini termasuk beberapa pemaju hartanah baharu di Sabah.

Antara pemaju yang menyertai pameran ini termasuk Hap Seng Proprties Development Sdn Bhd, M Vertica Sdn Bhd (Mah Sing), WMG Holdings, Legacy Group Development Sdn Bhd, Greenfield City Sdn Bhd dan Kinsabina Sdn Bhd.

Ditanya mengenai sasaran jualan dalam pameran hartanah kali ini, beliau berkata, Shareda tidak meletakkan sebarang sasaran jualan berikutan keadaan pasaran hartanah yang sukar dijangka.

(Visited 1 times, 1 visits today)