Menurut laporan Bernama, Hakim Azura Alwi juga memerintahkan Peter menjalani hukuman penjara 15 bulan jika gagal membayar denda itu.
Mengikut pertuduhan, Peter, 51, sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd, didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 iaitu memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan untuk tujuan menipu.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014.
Pertuduhan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.
Pada 14 Disember tahun lalu, mahkamah memerintahkan Anthony, 51, membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadap tertuduh.
Pada 21 September tahun lalu, pihak pendakwaan menutup kes berkenaan selepas 15 saksi dipanggil memberi keterangan.
Antara saksi pendakwaan termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah dan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi yang dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan yang bermula April tahun lalu.