Pakatan Janji Tubuh RCI Semak Perjanjian Malaysia Jika Berkuasa

1646

KOTA KINABALU: Sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) akan ditubuhkan untuk menilai kembali hak istimewa dan status negeri Malaysa Timur dalam Persekutuan sekiranya mendapat mandat untuk membentuk kerajaan pusat.

Pengerusi DAP Pusat Tan Kok Wai berkata pengembalian status Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan terdapat dalam manifesto Pakatan Harapan (PH).

“Kami akan kembalikan status negeri Malaysia Timur kepada statusnya yang berhak…kami akan memastikan perkara ini berlaku dan menyemak semula Perjanjian Malaysia (1963) dan semua kesilapan dan ketidakadilan akan dihentikan,” katanya dalam ucapan sempena rumah terbuka Tahun Baru Cina PH di Penampang hari ini (Sabtu).

Turut hadir ialah Pengerusi PH Sabah dan PKR Negeri Christina Liew, Pengerusi DAP Sabah Stephen Wong, Setiausaha DAP Sabah Foong Hin dan wakil Amanah Sabah.

Tan juga mempersoalkan keikhlasan Perdana Menteri Najib Razak yang berjanji mengembalikan hak negeri, menggesa rakyat Sabah berhenti daripada “diperbodohkan” dan “dimanipulasi” oleh janji kosong Barisan Nasional (BN).

Tan Kok Wai

Katanya, orang Sabah akan terus menjadi kumpulan termiskin dan paling rendah upah dalam negara ini sekiranya BN dibenarkan sekali lagi mentadbir negeri itu.

“Walaupun kaya dengan sumber alam, orang Sabah paling banyak menderita sejak 55 tahun berada dalam Malaysia.

“Ini adalah kerana ketamakan dan individu lapar kuasa, kerana itu, kita perlu menafikan mandat kepada BN dan menyelamatkan Sabah daripada ketamakan pemimpinnya,” katanya.

Pemimpin PH Sabah berkata, terdapat keperluan untuk mewujudkan RCI bagi memastikan pelaksanaan hak negeri “adil dan saksama,” contohnya seperti perkara yang membabitkan pendapatan negeri.

Kata mereka, janji suruhanjaya itu akan diumumkan secara rasmi bulan hadapan, sebaik gabungan itu memperkenalkan manifesto menyeluruh mereka.

Daripada jumlah pendapatan yang dikutip oleh kerajaan persekutuan daripada Sabah, negeri itu hanya mendapat 40%. Sementara Sarawak pula telah mengguna pakai formula tetap tersendiri.

Setiausaha DAP Sabah Chan Foong Hin berkata, RCI terhadap hak Sabah dan Sarawak akan dibentuk dalam tempoh 100 hari apabila PH mengambil alih kerajaan.

Katanya, suruhanjaya itu akan menyiasat sama ada hak negeri benar-benar dilaksanakan secara adil setelah Malaysia terbentuk sejak 55 tahun dahulu.

“Mereka akan hanya ada tempoh enam bulan untuk siapkan laporan, yang mana jawatankuasa itu akan dikepalai oleh pemimpin senior Sabah,” kata Chan, tanpa menamakan pemimpin tersebut.

“Ini semestinya akan berbeza dengan inisiatif yang dibuat BN untuk memperbetulkan hak negeri. (BN) tidak beri tempoh masa untuk melaksana atau kembalikan hak negeri.

“Bila dapat kuasa, inisiatif PH ini akan selesaikan perkara ini dalam tempoh tak sampai setahun,” katanya. – Jason Santos/themalaysianinsight.com

BACA LAGI DISINI: –

https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/38356/