Pakar Tolak Cadangan Beli Petronas, Minyak Memang Hak Sabah

KOTA KINABALU: Sabah sudah menjadi pemilik kepada hasil minyak yang digali Petronas di negeri itu sejak 40 tahun lalu, justeru tiada sebabnya kenapa Sabah perlu membelanjakan wang untuk membeli sebahagian daripada kepentingan di dalam syarikat milik Kerajaan Persekutuan itu.

ZAINAL AJAMAIN

Penasihat Kerajaan Sabah Berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Zainal Ajamain berkata, Petronas sepatutnya adalah milik bersama kerajaan negeri dengan Persekutuan maka apa-apa tawaran untuk membeli kepentingan tersebut perlu ditolak.

Tegas beliau, alasan Putrajaya terpaksa menanggung hutang yang tinggi bukanlah berpunca dari Sabah, tambahan pula bayaran royalti 20 peratus itu adalah janji dalam manifesto Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Kita tidak terlibat dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kenapa pula kita perlu dipertanggungjawabkan menanggung beban itu?

“Petronas mengambil untung daripada sumber asli Sabah selama lebih 40 tahun dan sekarang bila mereka tidak lagi mendapat untung daripada operasi di laut dalam mereka mahu jual pula syarikat kepada kita,’” katanya seperti dilaporkan hari ini.

SIMON SIPAUN

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad seperti dilaporkan agensi berita antarabangsa Reuters semalam berkata, Kerajaan Persekutuan sedang mempertimbang menjual sebahagian kepentingan Petronas kepada negeri pengeluar minyak untuk mendapatan dana membayar hutang.

Beliau berkata, Petronas tidak mempunyai keupayaan untuk membayar royalti sebanyak 20 peratus yang dijanjikan PH kepada Sabah dan Sarawak semasa pilihan raya umum lalu.

Pengerusi Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS), Tan Sri Simon Sipaun pula berkata, Putrajaya sepatutnya fokus meningkatkan bayaran royalti kepada Sabah dan Sarawak sebanyak 20 peratus kerana jika gagal kepercayaan rakyat kepada PH akan terhakis.

Tegasnya, jika disebabkan hutang maka janji itu tidak dapat ditunaikan, Putrajaya sepatutnya membenarkan sahaja kedua-dua negeri itu mengambil untung daripada hasil negeri terlebih dahulu sebelum diuruskan oleh Persekutuan.

DARELL LEIKING

“Putrajaya telah melanggar Perlembgaan apabila tidak membayar hasil negeri yang sepatutnya kepada Sabah, maka dengan cara itu mereka tidak perlu lagi berhutang dengan Sabah,” katanya.

Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan hasil bumi di Sabah yang dikutp Kerajaan Persekutuan perlu dikembalikan dalam nilai 40 peratus daripada jumlah keseluruhan, namun tahun depan kerajaan negeri hanya akan menerima bayaran tunai RM53 juta.

Sementara itu, Ahli Parlimen Penampang, Datuk Darell Leiking berkata, Putrajaya perlu menyatakan berapakah nilai Petronas dan berapa jumlah hutang mereka kepada Sabah terlebih dahulu barulah penjualan kepentingan itu boleh dirunding.

“Sabah juga perlu memikirkan untuk menguruskan sendiri kawasan minyak dan gas baharu yang ada di negeri itu,” katanya.

JEFFREY KITINGAN

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambunan, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan mempersoalkan kenapa baru sekarang cadangan itu ditimbulkan selepas selama ini Putrajaya mengaut untung di Sabah tanpa berkongsi dengan kerajaan negeri.

“Apa yang telah berlaku selama ini, Putrajaya telah mengambil semuanya. Sekarang mereka mahu jual apa yang menjadi miliki kita.

“Mereka mahu bagi kita sebuah syarikat yang telah merompak kekayaan sumber asli kita,” katanya.