Paip Lama Perlu Diganti, Langkah Terbaik Atasi Masalah Air Di Beluran

2020

Sejak bertahun lamanya saya memaklumkan tentang masalah ini kepada Menteri Pembangunan Infrastruktur terdahulu iaitu Pairin Kitingan malah kepada Ketua Menteri terdahulu, Musa Aman mengenai keperluan menukarkan paip yang sudah lama di kawasan ini – Ronald Kiandee, MP Beluran

Oleh SURAIDAH ROSLAN
BELURAN: Bantuan kecemasan telah dilaksana dalam membantu Hospital Beluran yang terjejas akibat kekurangan bekalan air yang berlaku di daerah yang berada kira-kira 100km dari Bandar Sandakan itu.

Pihak hospital mendakwa mereka berhadapan kekurangan bekalan air di Unit Rawatan Pesakit Luar dan Unit Hemodialisis. Namun, langkah telah diambil bagi mengatasi masalah berkenaan.

Setakat 1pm pada Sabtu (29 Disember), pihak hospital mengesahkan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) sudah menjalankan tugas mereka bagi memulihkan bekalan air di hospital itu.

Majlis Daerah Beluran juga telah menghantar 400 liter air bagi membantu mengatasi masalah kekurangan bekalan air itu.

Namun, langkah penyelesaian yang terbaik adalah dengan mengisi tangki simpanan air hospital yang memerlukan 20,000 liter dengan secepat mungkin.

Pengarah Hospital Beluran Dr Sylvester Lajau berkata, isu tekanan air rendah sudah berlaku selama hampir sebulan di seluruh Beluran dan hospital ini antara salah satu kawasan yang terjejas.

Namun, JANS memberi keutamaan dalam memastikan bekalan air di hospital ini sentiasa ada demi keselesaan pesakit.

“Dalam berhadapan dengan isu air ini, pihak hospital bekerjasama dengan JANS bagi mengambil langkah terbaik untuk memastikan bekalan air mencukupi untuk pesakit.

“Bagi pihak hospital, kami membekalkan air secara manual untuk tangki simpanan hospital. Bagaimanapun bekalan ini hanya cukup untuk keperluan operasi harian.

Paip bocor di Beluran.

“Malah pihak hospital juga turut menerima sumbangan daripada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) pada Jumaat yang membekalkan 200 kotak air mineral untuk kegunaan pesakit,” katanya ketika dihubungi.

Beliau juga memaklumkan bekalan air di hospital ini sudah pulih seperti biasa setelah tangki simpanan air hospital diisi sepenuhnya.

Sementara itu, Pengarah JANS Amarjit Singh berkata, masalah tekanan air yang rendah itu bertambah teruk apabila pengepam utama Loji Rawatan Air Muanad pecah pada 26 Disember lalu.

AMARJIT SINGH

Disebabkan kerosakan yang berlaku, pengeluaran air berkurang 2MLD. Pengepam juga gagal berfungsi untuk mengisi tiga tangki simpanan air utama yang kosong.

Bagaimanapun, pengeluaran air kembali meningkat pada keesokan harinya setelah paip yang pecah itu dibaiki.

Jabatan Bekalan Air Sandakan akan segera membekalkan air ke hospital itu sebaik sahaja tangki simpanan air penuh.

Amarjit berkata, bekalan air di seluruh Sandakan akan dipulihkan secara berperingkat. JANS juga sedang menunggu dua set pam baharu yang dijangka akan diterima pada Februari 2019.

Manakala, Ahli Parlimen Beluran Datuk Ronald Kiandee pula berkata, isu kekurangan bekalan air ini bukan satu isu yang baharu. Isu ini sudah berlanjutan sejak bertahun lamanya dan daerah itu memerlukan paip yang baharu.

“Sejak bertahun lamanya saya memaklumkan tentang masalah ini kepada Menteri Pembangunan Infrastruktur terdahulu iaitu Tan Sri Joseph Pairin Kitingan malah kepada Ketua Menteri terdahulu, Tan Sri Musa Aman mengenai keperluan menukarkan paip yang sudah lama di kawasan ini.

RONALD KIANDEE

“Namun tiada tindakan yang diambil. Ini bukan lagi masalah di daerah ini, JANS perlu mengambil langkah untuk menukar paip lama itu dengan paip baharu,” katanya.

Beliau juga berharap kerajaan baharu akan mengambil tindakan bagi mengatasi isu yang sudah berpanjangan sekian lama ini.

Jabatan Air Sandakan telah melaksanakan catuan bekalan air di Pekan Beluran dan beberapa kampung disekitarnya.

Dalam surat pekeliling JANS memaklumkan catuan bekalan air akan berterusan sehingga Februari 2019 sehingga dua pam baharu sampai.

Ronald berkata, menggunakan dua pam baharu bukan langkah yang terbaik kerana saluran paip yang terlalu lama mudah pecah apabila tekanan air terlalu tinggi.

“Oleh itu, JANS perlu mengatasi masalah paip air di sekitar daerah Beluran,” ujarnya.