Padua: Tidak Hairan Ada Usaha Mencemar Nama Baik Pemimpin Muda Warisan

Pemimpin Warisan
Pemimpin muda Parti Warisan, Darell Leiking dan Junz Wong membuat lawatan pintu-ke-pintu di Menggatal untuk menemui rakyat.

KOTA KINABALU – Parti Warisan Sabah (Warisan) menepis dakwaan yang mengatakan parti itu proksi parti politik bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Loretto Padua Jr
Loretto Padua Jr

“Tidak betul sama sekali. Barangkali ini khabar angin yang diviralkan oleh teori konspirasi pasukan siber yang tidak bertanggungjawab,” kata Setiausaha Agung Warisan, Loretto Padua Jr. dalam satu kenyataan yang disiarkan di FMT.

Padua menjawab artikel “Orang Asal dismiss Shafie as Dr M’s proxy” yang disiarkan FMT pada 27 September oleh seorang penulis bebas.

Menurut artikel itu, beberapa orang dalam kalangan Orang Asal di Sabah melihat Datuk Seri Shafie Apdal sebagai proksi Dr Mahathir.

Padua berkata sebelum penubuhan Warisan, sebahagian besar pemimpinnya berjuang bermati-matian untuk Sabah dan kawasan masing-masing tanpa bantuan Dr Mahathir.

Bagaimanapun, beliau menambah tidak pernah gerakan “besar-besaran” untuk menewaskan Umno Sabah sejak 1994, seperti yang digerakkan Warisan.

“Kita saksikan gerakan ini sesuatu yang dinantikan rakyat Sabah, sejak sekian lama, iaitu kebangkitan sebuah parti tempatan yang boleh merampas 30 kerusi dewan undangan negeri yang dipegang Umno Sabah dan kerusi lain.

“Tidak hairanlah mengapa usaha digerakkan untuk mencemar nama baik pemimpin muda Warisan dengan tujuan untuk mengelirukan rakyat Sabah agar kita lupa matlamat asal menewaskan Umno Sabah.”

Bagi tahun 2017, Warisan merancang untuk menghidupkan sokongan akar umbi dan memperkukuh parti, tambahnya.