Paderi Rudolf Joannes: Terima Kasih Ketua Menteri

TAMBUNAN: Sumbangan RM1 juta yang diluluskan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal kepada Gereja St. Theresa adalah yang terbanyak pernah diterima gereja itu sejak ditubuhkan pada 1960.

Paderi Rudolf Joannes yang melahirkan rasa kesyukuran atas bantuan tersebut berkata, kunjungan Mohd. Shafie ke gereja itu memberikan rahmat kepada Paroki St. Theresa untuk memulakan kerja-kerja membaik pulih gereja berkenaan.

RUDOLF JOANNES

Berikut nukilan beliau:

Selamat petang semua, Tuhan itu sungguh baik dan selalu mendengar doa kita dengan masa dan cara Dia.

Setelah berusaha dan berdoa Tuhan mengutus seseorang dan sebentar tadi Ketua Menteri baru mengumumkan bantuan permulaan pembinaan Gereja St. Theresa sebanyak RM1 juta.

Kita telah berusaha bertahun-tahun, namun belum mendapat jumlah sebanyak itu. Maka, dengan penambahan dana ini kita boleh sudah memulakan pembinaan gereja kita dengan izin Tuhan mungkin hujung tahun ini atau tahun depan.

Oleh itu, sekali lagi sebagai paderi Paroki St. Theresa mengajak semua umat St. Theresa agar terus berkerjasama dan berusaha bersama-sama dalam membantu pencarian dana gereja kita bersama, bak kata pepatah berat sama dipikul ringan sama dijinjing.

Sekali lagi terima kasih kepada Ketua Menteri kita dan semua ahli Majlis Pastoral Paroki (MPP), pembangunan dan teknikal serta semua umat yang terlibat memberi sokongan moral memeriahkan sambutan Ketua Menteri sebentar tadi.

Saya berharap sumbangan RM1 juta ini tidak akan menjadi isu politik lagi dalam kalangan umat kita seperti sebelum ini.

Mari kita belajar bersyukur, menghargai dan melihat yang positif pada setiap individu daripada sentiasa melihat yang negatif.

Tuhan memberkati
Paderi Rudolp Joannes