Padah Langgar Syarat Lesen, Nelayan Ditahan PPM

LAHAD DATU: Padah menangkap ikan kurang tiga batu nautika dari pesisir pantai, seorang juragan bot jenis kalibu ditahan dalam Op Gelora di perairan Pelabuhan Lahad Datu, di sini hari ini.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, dalam kejadian pukul 9 pagi tadi, tindakan nelayan tempatan berumur 49 tahun itu melanggar syarat sah lesen yang membenarkannya menjalankan aktiviti perikanan melebihi tiga batu nautika.

“Terdahulu, sepasukan anggota PPM mengesan sebuah bot di perairan berkenaan dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemerhatian dilakukan, suspek sedang leka menangkap ikan di kawasan tersebut tanpa menyedari kehadiran pihak berkuasa,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Menurut Mohamad Pajeri, hasil pemeriksaan ke atas lesen yang dikeluarkan, juragan bot tidak dibenarkan menangkap ikan kurang tiga batu nautika dari pesisir pantai.

“Hasil pemeriksaan di dalam bot suspek, PPM menemukan 10 kilogram ikan pelbagai jenis yang ditangkap di kawasan tersebut.

“Tindakan suspek menangkap ikan di situ boleh mengancam ekosistem dalam laut termasuk merosakkan batu karang yang menjadi habitat ikan tepi pantai,” katanya.

Sehubungan itu, PPM menahan suspek dan merampas semua hasil tangkapan, bot, enjin dan pukat yang dianggarkan bernilai lebih RM45,000.

Mohamad Pajeri berkata, kes diserahkan kepada Jabatan Perikanan dan disiasat mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat-syarat lesen.

“Saya beri amaran bahawa PPM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemilik bot atau nelayan yang melanggar syarat sah lesen.

“Tindakan tegas akan diambil bagi memastikan semua pihak mematuhi peraturan yang ditetapkan demi kepentingan bersama,” katanya.