P Pinang, S’gor Ada Bas Percuma; Sabah Masih Guna Keretapi Zaman British

2446
Perkhidmatan bas percuma di Selangor, salah satu negeri dibawah kerajaan Pakatan Harapan.

Oleh KEE HELMEY KEE YAHYA/ROKETKINI
KOTA KINABALU: Jika rakyat di Pulau Pinang dan Selangor telah menikmati kemudahan pengangkutan awam bas percuma, Sabah masih lagi ketinggalan dan masih menggunakan perkhidmatan keretapi era British kata Timbalan Setiausaha DAP Sabah, Tan Lee Fatt.

Selain itu katanya, Sabah juga masih tidak memiliki sistem pengankutan awam tersusun sehingga menyebabkan rakyat terpaksa berdepan dengan pelbagai kesukaran khususnya yang bergantung dengan perkhidmatan itu.

TAN LEE FATT

“Kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) di Pulau Pinang dan Selangor terbukti serius meringankan beban rakyat kerana mereka sentiasa prihatin dengan kos hidup yang tinggi dan juga kesesakan jalan raya.

“Di Sabah pula, kita masih menggunakan keretapi zaman British dan tidak mempunyai system pengangkutan awam yang tersusun malah, sistem BRT bernilai RM1 Billion yang diumumkan pada belanjawan 2016 masih dalam peringkat kajian,” katanya dalam kenyataan.

Tan berkata, kesesakan melampau jalanraya di kawasan Kota Kinabalu dan Sepanggar menunjukkan perlunya sistem pengangkutan awam dengan segera.

“Jika kerajaan BN betul-betul prihatin dengan masalah rakyat, tak perlu tunggu pilihan raya baru hendak umum baiki sistem pengangkutan awam,” katanya.

Beliau turut berkongsi rasa kecewa dan sedih di atas kematian melibatkan seorang remaja perempuan pada 19 Mac lalu ketika menaiki keretapi dari Beaufort ke Tenom.

Pada masa yang sama, Tan turut membangkitkan peristiwa malang pertembungan sebuah lori membawa muatan petrol dengan keretapi yang berlaku pada Oktober 2011 yang lalu berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

Katanya, insiden-insiden sedemikian mampu dielakkan sekiranya sistem pengangkutan awam Sabah dinaiktaraf. – Roketkini.com