Otai Masih Berbisa, 2 Gol Amri Yahyah Julang Sabah Tewaskan Melaka United 2-1 Di Likas

KOTA KINABALU: Otai masih berbisa.

Amri Yahyah sekali lagi menjadi wira Sabah FC apabila meledak dua gol sekali gus membantu Sabah bangkit menewaskan Melaka United 2-1 pada aksi Liga Super di Stadium Likas, malam tadi (31 Julai)

Amri, bekas penyerang kebangsaan yang kini menginjak usia 41 tahun membuktikan dia masih berbisa apabila menjaringkan
dua gol pada separuh masa kedua, untuk memastikan Sabah mengutip tiga mata penuh di gelanggang sendiri selepas ketinggalan satu gol pada babak pertama.

Amri yang diingati peminat bolasepak tanah air kerana pernah menjaringkan gol dalam perlawanan persahabatan Malaysia menentang kelab gergasi dunia iaitu Manchester United pada 2009 dan Barcelona pada 2013 meledak gawang Melaka United pada minit ke-65 dan ke-90, sekali gus menghampakan harapan Melaka untuk sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata selepas mendahului 1-0 pada babak pertama.

Amri yang dimasukkan pada separuh masa kedua menggantikan Stuart John Wilkin meledak jaringan pertama pada minit ke-65 menerusi rembatan kencang first-timer hasil hantaran Alto Linus yang menewaskan penjaga gol Melaka United, Ahmad Asyraaf Omar.

Jaringan peribadi keduanya menyusul pada minit ke 90 selepas merembat kencang hantaran Muhammad Farhan Roslan dalam kotak penalti.

Terdahulu, Melaka mengejutkan tuan rumah apabila berjaya menjaringkan gol pendahuluan menerusi pemain importnya, Ifedayo Olusegun yang membuat susulan selepas bola ditepis Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-23.

Hujan lebat di Kota Kinabalu tidak menghalang kedua dua pasukan menyajikan permainan menghiburkan dengan saling berbalas serangan di atas padang yang becak dan licin.

Kemasukan Amri di awal babak kedua mengubah situasi apabila skuad The Rhinos dilihat lebih menguasai perlawanan.

Perlawanan ini turut menyaksikan dua pemain dibuang padang selepas dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan
kerana bermain secara agresif iaitu Ahmad Haziq dari Melaka dan Rawilson Batuil dari Sabah FC.

Dengan kejayaan mengutip tiga mata penuh di Stadium Likas, Sabah kekal di tangga kedua Liga Super dengan 31 mata, 1 mata di belakang pendahulu, Johor Darul Ta’zim.