Orang Sabah: Jangan Pertikai Cara Kami Dan Cara Kehidupan Kami

4170
Gambar hiasan sahaja. – Gambar internet

KOTA KINABALU: Rakyat Sabah membela Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang hadir di sebuan majlis kesyukuran anjuran rakan seperjuangannya dalam Parti Warisan Sabah (Warisan) pada Sabtu lalu.

Dalam sebuah video yang ditularkan, Shafie, yang juga Presiden Warisan dilihat duduk bersebelahan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk VK Liew dalam Majlis Kesyukuran yang diadakan di kediaman menteri berkenaan, di Likas.

Orang ramai melalui laman media sosial menyatakan bahawa perkara sebegitu adalah satu kebiasaan di Sabah yang terdiri daripada pelbagai etnik dan kepercayaan untuk meraikan bersama sesuatu perayaan, walaupun berbeza agama dan kepercayaan.

Walaupun terdapat kritikan daripada pelbagai pihak termasuk menerusi page Facebook Friends of Barisan Nasional (BN), ramai pengguna Facebook menyatakan bahawa perkara itu adalah satu kebiasaan dan biasanya tidak disedari, kecuali ia memang sengaja diprovokasikan demi kepentingan politik.

Pengguna Facebook Suhaila Ahmad berkata perkara sebegitu satu kebiasaan di Sabah.

“Saya juga sering menerima jemputan menghadiri sambutan Krismas oleh rakan yang beragama Kristian sejak kecil. Tidak bermakna kita hadir dalam majlis sebegitu, kita akan mengubah pegangan dan kepercayaan kita. Ia bermaksud kita menghormati agama lain,” katanya menerusi laman Facebooknya.

AZIS JAMMAN

Turut memberi pendapat yang sama adalah Chrislah Lantinus yang menyatakan tiada masalah untuk Shafie hadir dalam majlis sebegitu.

“Ia menunjukkan beliau (Shafie) menghormati agama lain. Kebanyakan keluarga saya akan hadir ke sambutan keagamaan di rumah orang lain, biarpun mereka tidak mengamalkan kepercayaan berkenaan

“Keimanan itu datang dari hati. Beliau tidak dipaksa memeluk agama Kristian jika beliau duduk di situ,” katanya melalui Facebook miliknya.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Azis Jamman berkata beliau tidak melihat sebarang sebab mengapa orang perlu membesar-besarkan isu Shafie menghadiri majlis sebegitu.

“Mungkin sesetengah orang di Semenanjung Malaysia tidak faham mengenai keadaan ini, tetapi beginilah cara kita hidup di Sabah.

“Kita hidup dalam masyarakat yang harmoni walaupun berbeza bangsa dan agama. Ia tidak menjadi masalah kepada kita dan itu bukan isu besar. Lagipun terdapat ramai ahli parti yang berbeza agama dan kepercayaan yang turut berada dalam majlis itu,” katanya.