Orang Ramai Dinasihat Semak Dengan MDA Sebelum Beli Kit Ujian Kendiri Dalam Talian

SIBU: Orang ramai dinasihatkan untuk menyemak ketulenan kit ujian pantas antigen COVID-19 yang dijual secara dalam talian sebelum membelinya.

Ini adalah untuk mengelak pengguna daripada ditipu dengan produk palsu yang boleh membahayakan keselamatan dan kesihatan mereka.

Menurut Ketua Pegawai Penguatkuasa daerah Sibu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelyn Bolhassan sehingga 1 Sept terdapat 14 syarikat berlesen di Malaysia yang mengedarkan produk kit ujian pantas yang diluluskan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) Kementerian Kesihatan.

“Kami masih belum mendapat sebarang maklumat mengenai penjualan kit ujian ini secara dalam talian.

Kit ini hanya dijual oleh penjual yang diluluskan MDA, justeru orang ramai perlu menyemak terlebih dahulu sebelum membeli,” katanya dan menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan kit itu daripada farmasi dan klinik kesihatan berlesen berhampiran.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat pemeriksaan di salah sebuah farmasi di bandar ini yang menjual kit ujian itu.

Kelyn berkata harga borong terkawal kit ujian itu adalah RM16 manakala harga runcit adalah RM19.90 seperti yang ditetapkan kerajaan berkuat kuasa 5 Sept.

Pasukan penguatkuasaannya telah memeriksa semua 40 farmasi berlesen di sekitar bandar itu dan mendapati mereka mematuhi harga jualan yang ditetapkan untuk produk berkenaan.

Penjualan kit ujian di Sibu, yang merekodkan 436 kes positif COVID-19 setakat semalam, boleh mencecah 150 hingga 300 unit sehari bagi satu farmasi.

Setakat ini, beliau berkata tiada aduan yang diterima mengenai penjualan kit ujian pantas oleh farmasi yang melebihi harga yang ditetapkan dan sekiranya ada, tindakan boleh diambil di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Di bawah akta itu, denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya boleh dikenakan terhadap individu yang didapati bersalah manakala denda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000 kepada syarikat yang melanggar peraturan itu.