Orang Ramai Banjiri Rumah Terbuka Tokoh Korporat Labuan

82
Alias (enam kiri), Norsiah (lima kiri) bersama  Ketua Pengarah Eksekutif Asian Supply Base Datuk Haris Tan (lima kanan) dan keluarga di rumah terbuka semalam.

LABUAN:Lebih 2,000 orang dari segenap lapisan kehidupan membanjiri rumah terbuka seorang tokoh korporat terkemuka di pulau bebas cukai ini pada hari kedua sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Orang ramai mula mengunjungi rumah terbuka itu yang dihoskan oleh presiden Dewan Usahawan Melayu Labuan Datuk Seri Mohd Alias Abd Rahman dan isteri Datin Seri Norsiah Abdullah di kediaman mereka di Jalan Gersik Baru seawal jam 11 pagi.

Antara tetamu tempatan termasuk anggota dewan perniagaan, pemimpin masyarakat India, anggota parti komponen Pakatan Harapan serta pemimpin masyarakat dan anggota media yang dihidangkan dengan pelbagai masakan tradisi yang lazat.

“Ini adalah platform terbaik untuk memupuk dan mengukuhkan perpaduan masyarakat majmuk di Labuan,” kata Mohd Alias.

Alias dan Norsiah (kanan) bersama Rozman dan isteri (kiri) di rumah terbuka semalam.

Hari raya pertama, lebih 15,000 orang mengunjungi rumah terbuka Anggota Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli di kediamannya di Jalan Tanjung Bendera, Tanjung Purun.

Antara yang hadir adalah ketua-ketua komponen Pakatan Harapan Labuan, pemimpin masyarakat dan peniaga serta pengamal media.

Rozman berkata amalan kunjung-mengunjung mampu mempereratkan silaturahim masyarakat setempat.

“Ianya satu platform membudayakan masyarakat agar sentiasa mempereratkan hubungan sesama insan meskipun berlainan ideologi politik,” katanya.