‘Ops Sea Hunter’ Di Kunak; Tali Barut Kumpulan Penculik Mati Ditembak

Noor Rashid, tengah, bersama Pesuruhjaya Polis Sabah, Ramli Din, kiri, dan Ketua Polis Daerah Kunak, Superintendan Mohd Nasaruddin M Nasir ketika mengadakan sidang media berhubung kes suspek perompak mati ditembak di perairan Pulau Burung, Kunak. – Foto Abdul Rahemang Taiming/Bharian online

KUNAK: Polis menembak mati seorang penjenayah yang disyaki tali barut serta pemberi maklumat kepada kumpulan penculik untuk wang tebusan (KFR) dalam insiden berbalas tembak di perairan Pulau Burung, dekat sini, awal pagi tadi (Jumaat).

Dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, suspek, Masurati Insawani atau lebih dikenali sebagai Tarab yang turut aktif mendalangi rompakan dan samun terhadap bot nelayan di tengah laut, mati ditembak sepasukan polis yang menjalankan rondaan di perairan berkenaan.

Operasi itu diketuai Ketua Polis Daerah Kunak, Superintendan Mohd Nasaruddin M Nasir dengan menggunakan sebuah bot samaran susulan maklumat dan risikan yang diperoleh hasil operasi khas dinamakan ‘Ops Sea Hunter’ bagi menangani kes rompakan di laut yang dilancarkan sebelum ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Noor Rashid Ibrahim, berkata ketika berada berhampiran Pulau Burung, iaitu pulau kecil yang hanya timbul ketika air surut, anggota polis terserempak dengan sebuah bot pam dinaiki suspek dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, ketika cuba dihampiri, suspek memecut bot untuk melarikan diri sambil melepaskan satu das tembakan ke arah polis.

Senjata bersama peluru dan pedang samurai yang ditemui dalam bot suspek yang mati ditembak ketika Ops Sea Hunter di perairan Pulau Burung. – Foto Abdul Rahemang Taiming

“Berikutan itu, polis terpaksa membalas tembakan menyebabkan berlaku insiden berbalas tembak dan selepas dapat mendekati bot terbabit, kita dapati suspek telah terbaring dan disahkan mati akibat terkena tembakan di bahagian dada.

“Pemeriksaan lanjut dalam bot berkenaan menemui sepucuk pistol jenis .38 bersama tiga butir peluru dan satu kelongsong, serta sebilah pedang samurai,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kunak, di sini, Jumaat tengahari.

Noor Rashid berkata, berdasarkan pemeriksaan, suspek warga Filipina berumur 50 tahun itu dikehendaki polis untuk membantu siasatan berkaitan beberapa kes samun ke atas nelayan serta masyarakat nomad Bajau Laut di tengah laut.

“Saya percaya dengan kejayaan ini, polis bukan sahaja berjaya menyelesaikan beberapa kes rompakan di laut, malah memutuskan hubungan suspek dengan kumpulan KFR kerana dia didapati berperanan sebagai tali barut atau pemberi maklumat serta individu yang melakukan tinjauan bagi pihak kumpulan berkenaan,” katanya. – Abdul Rahemang Taiming/bharian online

BERITA SELANJUT: –

https://www.bharian.com.my/berita/kes/2017/09/331575/tali-barut-kumpulan-penculik-mati-ditembak