Ops Dadu: 150 Serbuan, 158 Tangkapan

Oleh JENNIFER T. MICHAEL
KOTA KINABALU: Sebanyak 150 serbuan membabitkan 158 tangkapan berjaya dilaksanakan dalam usaha membanteras kegiatan judi tanpa lesen atau judi haram sepanjang bulan Januari hingga September tahun ini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, kegiatan perjudian tanpa lesen tersebut meliputi pelbagai jenis seperti loteri awam dan judi dalam talian..

Katanya, serbuan dilakukan di sekitar Karamunsing, Inanam, Menggatal, Luyang dan Tanjung Aru.

“Dalam 150 serbuan tersebut, kita telah membuat tangkapan seramai 158 orang yang mana 88 orang terdiri daripada lelaki, selebihnya sebanyak 70 adalah terdiri daripada perempuan.

“Pecahan tangkapan terdiri daripada 137 warga tempatan, 18 warga asing iaitu Filipina dan tiga adalah Indonesia,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu petang ini.

Habibi berkata, rampasan turut membabitkan barang-barang kes yang digunakan dalam kegiatan perjudian.

“Antaranya dua buah laptop, satu tablet, enam set komputer, 167 buah telefon bimbit, 32 biji domino, enam biji dadu serta wang tunai berjumlah RM44,955 dan anggaran jumlah kesemuanya adalah RM138,555,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Habibi berkata, pihak polis IPD Kota Kinabalu memandang serius kegiatan perjudian haram dan akan sentiasa mengambil tindakan tegas dari masa ke semasa bagi memastikan bandar itu bebas daripada kegiatan perjudian haram.

“Pihak polis IPD Kota Kinabalu amat komited dan secara berterusan tanpa henti akan menjalankan serbuan kegiatan perjudian sekiranya kita mendapat maklumat,” jelasnya.

Katanya, semua tahanan berusia antara 16 sehingga 70 tahun itu disiasat mengikuti Seksyen 4A (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Dalam perkembangan lain, Habibi menjelaskan judi dalam talian di daerah Kota Kinabalu tidak begitu serius namun pemantauan berkala sentiasa dipertingkatkan.

Selain itu, beliau turut menjelaskan 158 tangkapan adalah pemain judi haram dan tiada dalam kalangan mereka yang merupakan pemilik kepada perjudian haram.