Operasi Sistem Tukar Barang Dalam Proses Perhalusi Terma – Jaujan

LAHAD DATU: Operasi sistem perniagaan tukar barang (barter trade) yang akan menjana ekonomi serta pendapatan penduduk Sabah khususnya di Lahad Datu akan dibuka semula pada bila-bila masa selepas memperhalusi beberapa terma, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Jaujan Sambakong.

Katanya, sistem itu sudah lama wujud namun dihentikan pada pemerintahan kerajaan terdahulu, dan dihidupkan semula dengan terkini beberapa terma diperhalusi supaya sistem berkenaan dapat berfungsi dengan lancar dan baik.

“Rakyat jangan bimbang dan perlu bersabar kerana kerajaan sudah ada perancangan, dan sudah pun membangunkan sistem ini, cuma tunggu operasi ia dilaksanakan (semula) sahaja,” katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Beliau dalam pada itu berharap setelah sistem itu dilaksanakan semula, rakyat dapat turut sama memainkan peranan serta merebut peluang yang ada.

Selain itu, Jaujan yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Sulabayan berkata kewujudan sedia ada pelabuhan Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) Sdn Bhd akan turut sama merancakkan lagi sistem berkenaan, dengan peranan pelabuhan itu dipertingkatkan.

“Pengumuman Ketua Menteri Sabah (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) telah mengadakan satu persefahaman dengan Bursa Saham (syarikat) di Singapura antara lain usaha ke arah memiliki kilang penapis serta dagangan sendiri (minyak sawit).

“Selain menunjukkan kita mampu menjadi hab dalam melaksanakan pertukaran barangan sendiri, misalnya negara yang ada sawit seperti Kalimantan akan hantar ke sini (Lahad Datu) sebagai transit untuk didagangkan ke beberapa negara,” katanya dan pembangunan POIC serta Barter Trade berkait rapat penjanaan pendapatan ekonomi dan membuka peluang pekerjaan di Lahad Datu pada amnya.

Sementara itu, Jaujan berkata pembangunan di Sabah perlu terancang dan lebih komprehensif untuk manfaat jangka masa panjang.