Operasi SAR Nelayan Hilang Di Pulau Kuraman Ditamatkan

LABUAN: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa nelayan hilang dikhuatiri lemas di perairan Pulau Kuraman ditamatkan hari ini.

Pengarah Zon Maritim Labuan, Kepten Maritim Mudin Jusoh berkata, operasi SAR yang dimulakan sejak 24 Disember lalu tidak menunjukkan sebarang petanda positif sepanjang empat hari pencarian dilakukan.

Justeru, operasi SAR mangsa nelayan warga Indonesia, Diniela Rambie dilaporkan hilang pada jam 5 petang Sabtu itu ditamatkan hari ini.

“Operasi ditamatkan setelah menilai kepada keadaan semasa serta hasil perbincangan bersama pasukan penyelamat yang terlibat.

“Walau bagaimanapun, pemantauan dan pencarian akan terus dilakukan semasa rondaan harian dan juga rondaan persisiran pantai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, mangsa nelayan berusia 58 tahun itu difahamkan melaksanakan kerja-kerja memotong pukat yang tersangkut pada kipas bot kapal bersama dua lagi rakannya.

Namun, selepas kerja-kerja pemotongan pukat yang tersangkut selesai, mangsa tidak timbul dan operasi SAR mangsa dimulakan pada Ahad dan ditamatkan pada hari ini.