Operasi SAR Kru Bot Nelayan Brunei Hanyut Diteruskan

115
Kru bot nelayan Brunei dipindahkan ke Ambulans bagi membawa mangsa ke hospital untuk rawatan lanjut.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) sembilan lagi kru bot nelayan Brunei Darussalam yang dihanyutkan ke perairan Malaysia masih diteruskan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Pengarah Maritim Malaysia cawangan Sabah Laksamana Muda Maritim Kamaruszaman Abu Hassan berkata, dua daripada 11 kru bot itu berjaya ditemukan nelayan tempatan pada tengahari tadi (Jumaat) di sekitar Pulau Tiga.

“Seorang mangsa kelihatan lemah dan kesemua mangsa dibawa ke Jeti Maritim Malaysia di Sepanggar. Mangsa seterusnya dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

“Pusat Operasi Menyelamat Maritim (MRSC) Kota Kinabalu dimaklumkan sembilan mangsa yang memakai jaket keselamatan telah dilihat di perairan Semarang oleh pelaut pada 7 Ogos lalu.

Kru bot nelayan Brunei yang dibawa ke Markas Maritim Sabah di Sepanggar sebelum dihantar ke hospital.

“Sebuah pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah digerakkan ke kawasan berkenaan untuk mengesan mangsa namun, tidak menjumpai sebarang petunjuk,” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Jumaat.

Kamaruszaman berkata, Maritim Malaysia di Putrajaya dimaklumkan mengenai bot yang dihanyutkan itu daripada National Search & Rescue Coordination Committee (NRCC) Kerajaan Brunei pada 7 Ogos lalu.

NRCC memohon bantuan aset dari Malaysia bagi mengesan 11 kru bot nelayan yang dipercayai dihanyutkan ke perairan Malaysia. NRCC telah mengaktifkan SAR pada 7 Ogos lalu.

Dalam perkembangan lain, operasi SAR mencari seorang mangsa bot fiber karam di Kudat-Berungus yang memasuki hari ketiga masih gagal menemukan mangsa. Operasi SAR mengikut rutin biasa akan diteruskan pada Sabtu.

Anggota Maritim Sabah memantu memindahkan mangsa bot nelayan Brunei daripada bot nelayan tempatan yang menjumpai mangsa.

Kamaruszaman berkata, dalam kejadian bot karam pada Selasa, dua mangsa ditemukan selamat, dua lagi meninggal dunia dan seorang lagi mangsa masih belum ditemukan.

Berikutan bot karam itu, operasi SAR mula dijalankan pada 6 Ogos dan diteruskan sehingga petang Jumaat.

“Aset yang terlibat dalam operasi SAR ini adalah dua bot Maritim Malaysia dan Polis, sebuah bot Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam. Kawasan pencarian dibahagi kepada enam sektor dengan keluasan 55 batu nautika persegi,” ujarnya.