Operasi Perniagaan, Perjalanan Perlukan Kejelasan Selepas Ordinan Darurat Dibatalkan

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa memberikan gambaran lebih jelas mengenai keadaan sekatan pergerakan selepas enam Ordinan Darurat dibatalkan semasa mesyuarat Kabinet pada 21 Julai.

Ahli Parlimen DAP-Kepong Lim Lip Eng berkata beliau menerima beberapa pertanyaan berhubung perkara itu termasuk pergerakan bagi tujuan aktiviti ekonomi dan perjalanan. 

“Kami menerima soalan seperti sekarang rakyat boleh merentas daerah atau negeri untuk bekerja dan jika surat dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri masih diperlukan untuk operasi perniagaan,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini. 

Pada Isnin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parliamen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata kerajaan memutuskan untuk tidak melanjutkan tempoh Darurat dan Ordinan yang dibuat sepanjang tempoh Darurat selepas 1 Ogos. 

Di Dewan Rakyat pada Isnin, beliau berkata enam Ordinan Darurat yang dirangka dan dikuatkuasakan semasa tempoh Darurat dibatalkan oleh kerajaan pada 21 Julai selepas mesyuarat Kabinet pada tarikh yang sama. 

Dalam perbahasan hari ini, Takiyuddin berkata beliau hanya akan menjawab soalan itu pada Isnin depan apabila beliau memberi taklimat kepada Dewan mengenai Proklamasi Darurat.